Inti pati MADANI sesuai dengan ajaran agama Islam - Ahmad Maslan

Rahimah Abdullah
Februari 13, 2023 20:23 MYT
Ahmad Maslan menjelaskan, MADANI yang dilaksanakan Kerajaan Perpaduan memastikan kemajuan pemikiran, kerohanian dan kebendaan, seperti mana yang dituntut agama. - Sumber foto FB UKM
BANGI: Inti pati konsep MADANI yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan sesuai dengan ajaran agama Islam.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan menjelaskan, MADANI yang dilaksanakan Kerajaan Perpaduan memastikan kemajuan pemikiran, kerohanian dan kebendaan, seperti mana yang dituntut agama.
"Sudah ada dalam buku yang tulisan Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau menyebut dalam buku itu bahawa negara Madani ini kita nak maju dari segi tiga perkara, iaitu maju pemikiran, kerohanian dan kebendaan.
"Maju tiga perkara itu. Ia perkara yang dituntut agama. Kita mengharapkan kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat. Tentunya inti pati kepada Madani itu sesuai sebagaimana diajar agama Islam," katanya semasa sidang media selepas Majlis Perasmian Program Dronecubator Kompleks Pentadbiran Fakulti Kejuruteraan dan AlamBina Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, di sini pada Isnin.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mendakwa Pakatan Harapan yang memimpin kerajaan campuran sekarang bukan kerajaan Madani mengikut acuan pemerintahan Islam terdahulu.
Kata Abdul Hadi lagi, kerajaan campuran sekarang didominasi oleh Ahli Parlimen bukan Islam iaitu seramai 50 orang bukan Muslim manakala hanya 31 orang Muslim sahaja.
#Ahmad Maslan #Abdul Hadi Awang #Kerajaan Perpaduan #konsep madani
;