Intervensi kurikulum: 'Tiada lagi keciciran pembelajaran bagi murid di peringkat asas' - Pakar
Pia Ernadya
Mac 18, 2024 17:54 MYT
Mac 18, 2024 17:54 MYT
KUALA LUMPUR: Lebih ramai murid diharap dapat menguasai 3M iaitu membaca, mengira dan menulis dengan baik dalam tempoh satu tahun pertama persekolahan susulan empat intervensi kurikulum yang diumumkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hari ini.
Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Anuar Ahmad, berkata penguasaan 3M dengan cepat akan memberi impak positif terhadap proses pembelajaran mereka.
"Ini sekali gus tidak akan ganggu pembelajaran mereka dan tidak akan berhadapan dengan keciciran pembelajaran di peringkat Tahun Dua, Tahun Tiga dan seterusnya," katanya semasa program Pantau Agenda Reformasi di sini, hari ini.
Beliau mengulas pengumuman langkah intervensi kurikulum oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang bertujuan untuk mengenal pasti murid yang belum menguasai kemahiran 3M serta memerlukan intervensi awal yang bersesuaian dengan kebolehan, keupayaan dan gaya pembelajaran mereka.
Empat langkah yang diumumkan adalah Dokumen Penjajaran Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) Semakan 2017 Edisi 3, Pengesanan Awal Literasi dan Numerasi, Pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) yang mesra ibu bapa dan Penataran Dokumen Penjajaran KSSR Semakan 2017, Edisi 3.
Fadhlina berkata langkah itu diambil susulan maklum balas daripada pelbagai pihak berkepentingan termasuk ibu bapa yang merupakan antara sumber maklumat penting dalam pembangunan kurikulum.
Mengulas lanjut, Anuar berkata langkah ini bermakna silibus sedia ada akan tetap digunakan tetapi guru-guru akan diberikan pilihan untuk menggunakannya selari dengan keadaan murid di dalam kelas masing-masing.
"Penjajaran ini akan memberi tumpuan kepada keupayaan murid dan bukan lagi kepada usaha untuk menghabiskan silibus tersebut. Jadi pada saya, ini adalah salah satu langkah yang baik dan sebenarnya penjajaran ini telah lama kita sarankan iaitu selepas kita keluar dari pandemik COVID-19 lalu.
"Kita meminta dan memohon supaya penjajaran ini dilakukan kerana kita tahu bahawa murid-murid berhadapi dengan pelbagai masalah pembelajaran di peringkat sekolah," katanya.
Anuar turut berkata bahawa salah satu faktor berlakunya keciciran pembelajaran dalam kalangan pelajar adalah kerana kurang penekanan terhadap isu berkaitan kemahiran 3M.
"Kita tahu bahawa di dalam Dewan Parlimen pada minggu lalu, Menteri sendiri memaklumkan terdapat lebih 435,000 murid di sekolah rendah dan juga menengah sedang berhadapan dengan isu keciciran pembelajaran.
"Jadi dengan penjajaran ini, ia menjadikan silibus sedia ada itu lebih sesuai dengan keadaan murid dan juga guru-guru juga sekali gus diberikan peluang dan autonomi bagaimanakah silibus itu dapat dilaksanakan di dalam bilik darjah masing-masing," katanya.