Intervensi kesihatan awam di Sabah bermula dua minggu sebelum ujian COVID-19 diwajibkan
Bernama
Oktober 1, 2020 04:14 MYT
Oktober 1, 2020 04:14 MYT
PUTRAJAYA: Intervensi kesihatan awam di Sabah telah bermula dua minggu sebelum keperluan ujian COVID-19 diumumkan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau berkata, Kementerian Kesihatan telah memberikan laporan harian dari segi pengesanan jangkitan, kerana intervensi kesihatan awam telahpun dilakukan lebih awal.
"Kerajaan Negeri juga pada masa itu, telahpun mengeluarkan arahan penutupan pasar, bantuan tentera dalam memperketatkan sempadan, dan seminggu sebelum pilihan raya negeri, kita telah pun menempatkan 98 sekatan jalan raya.
"Cumanya, kita tidak umumkannya. Tetapi aktiviti telahpun dilakukan pada peringkat awal," katanya dalam sidang media di sini pada Khamis.
Sebagai contoh, Dr Noor Hisham berkata, pengerahan doktor, jururawat, kakitangan dan peralatan termasuk 139 unit ventilator ke Sabah telah dilakukan lebih awal.
Bercakap mengenai mengapa arahan mewajibkan ujian tidak dikenakan lebih awal daripada 27 Sept, Dr Noor Hisham berkata, "Pada 27 Sept, orang sepatutnya pulang ke Sabah, jika kita mengenakan ujian pada 25 Sept, ia akan menjadi satu isu, seolah-olah kita menghalang orang ramai untuk balik ke Sabah untuk mengundi."
Pada 26 Sept, Dr Noor Hisham mengumumkan kesemua ketibaan dari Sabah perlu menjalani ujian COVID-19, di tempat kemasukan antarabangsa bermula dari 27 Sept hingga 10 Okt.
Dr Noor Hisham berkata, enam hospital di Sabah telah dikenal pasti sebagai hospital COVID-19 iaitu, Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu, Duchess of Kent Hospital di Sandakan, Hospital Tawau, Hospital Keningau, Hospital Lahad Datu dan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah di Likas.
-- BERNAMA
#Sabah
#COVID-19
#Doktor
#jururawat
#kakitangan
#arahan wajibkan ujian
#mengundi
#PRN Sabah
#ketibaan dari Sabah
#intervensi
#kesihatan awam
#Noor Hisham Abdullah
#laporan harian
#pengesanan jangkitan
#kemasukan antarabangsa
#Hospital
#hospital COVID-19