Intervensi awal penting bagi anak sindrom down belajar dan berdikari - Ras Adiba
Bernama
April 16, 2021 04:22 MYT
April 16, 2021 04:22 MYT
PUTRAJAYA: Intervensi awal amat penting untuk anak-anak Sindrom Down bagi memastikan mereka dapat belajar lebih cepat dan mampu berdikari, kata Ahli Dewan Negara yang mewakili golongan Orang Kurang Upaya (OKU) Senator Datuk Ras Adiba Radzi.
"Intervensi awal amat penting supaya diberi pergerakan di dalam otak mereka agar mereka boleh bercakap dengan lebih baik dan bermain seperti anak-anak lain," katanya selepas majlis berbuka puasa bersama anak-anak daripada Persatuan Sindrom Down Malaysia, di sini, pada Jumaat.
Majlis dianjurkan oleh D'Tandoor Food Industries Sdn Bhd bagi meraikan 60 orang termasuk anak Sindrom Down serta memberi sumbangan duit raya kepada anak istimewa.
Turut hadir Pengarah Urusan D'Tandoor Group of Companies Datuk Abdul Malik Abdullah.
Ras Adiba yang juga Presiden OKU Sentral dan Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), menyeru ibu bapa kepada anak Sindrom Down agar menghantar anak mereka ke sekolah khas bagi membolehkan anak berkenaan belajar seawal mungkin.
"Kadang-kadang ibu bapa fikir nak lindungi anak-anak, sebenarnya tidak apabila tidak memberikan mereka peluang untuk belajar seperti anak yang lain," katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Sindrom Down Malaysia Hanizah Hussin berkata kesedaran masyarakat mengenai anak Sindrom Down harus ditingkatkan agar mereka tahu anak istimewa tersebut mempunyai kemampuan untuk bekerja.
"Kita ingin memberitahu masyarakat bahawa insan istimewa ini perlu ke depan kerana mereka mempunyai keupayaan, bukan kurang upaya sepenuhnya. Mereka boleh diajar kerana mempunyai fizikal yang bagus dan sangat fokus," katanya.
Hanizah berkata golongan istimewa itu boleh diberi peluang bekerja bergantung pada inisiatif ibu bapa dan penerimaan majikan.
Menurutnya, dalam setiap 800 kelahiran akan ada satu anak Sindrom Down dan dianggarkan terdapat 40,000 hingga 50,000 anak Sindrom Down di negara ini.
Mengenai program imunisasi COVID-19, Hanizah berkata seramai 50 individu yang mengalami Sindrom Down akan diberikan vaksin itu mengikut giliran.
-- BERNAMA
#OKU
#Ras Adiba Radzi
#Orang Kurang Upaya
#Sindrom Down
#intervensi awal
#D'Tandoor
#Hanizah Hussin
#anak istimewa