Interpol perlu jadi entiti bebas - Pemuda PAS
Astro Awani
Disember 23, 2014 18:06 MYT
Disember 23, 2014 18:06 MYT
Polis Antarabangsa (Interpol) perlu kekal menjadi entiti bebas sebagaimana yang termaktub dalam garis panduan badan pertubuhan dunia itu, kata Ketua Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kaiat.
Suhaizan berkata tindakan Interpol mengeluarkan ‘notis merah’ untuk menahan Presiden Kesatuan Ulama Sedunia Dr Yusuf Al-Qaradawi telah menjadikan pertubuhan dunia itu berpihak.
Katanya, tindakan Interpol itu memperlihatkan seolah-olah ia diperalatkan untuk kepentingan politik Presiden Mesir, Abdel Fattah Al-Sisi.
"Tindakan Interpol untuk menahan cendekiawan tersohor itu juga jelas bertentangan dengan Perkara 3 Peruntukan Am perlembagaan pertubuhan itu.
“Organisasi itu dilarang untuk menjalankan campurtangan atau aktiviti berbentuk politik, ketenteraan, keagamaan atau perkauman.
"Tindakan mengeluarkan ‘notis merah’ yang bertujuan untuk menahan Dr Yusuf telah menjadikan pertubuhan dunia itu berpihak, sekaligus diperalatkan untuk kepentingan politik (Presiden Mesir) Abdel Fattah Al-Sisi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Suhaizan berkata Pemuda PAS akan menghantar memorandum kepada Interpol di pejabat agensi itu di Singapura pada 2 Januari nanti bagi membantah usaha untuk menahan Dr Yusuf.
Interpol dilaporkan mengeluarkan waran kepada Dr Yusuf, 88, berhubung tuduhan yang mengaitkan cendekiawan Islam itu dengan kegiatan Ikhwanul Muslimin.
Beliau dikehendaki pihak berkuasa kehakiman Mesir untuk pendakwaan dan sabitan hukuman.
Warganegara Mesir dan Qatar itu antaranya dituduh menghasut dan membantu pembunuhan antarabangsa, membantu banduan melepaskan diri daripada penjara, serta aktiviti vandalisme dan kecurian.