Internet percuma 30 minit untuk rakyat berpendapatan rendah
Astro Awani
Mac 19, 2013 19:36 MYT
Mac 19, 2013 19:36 MYT
Rakyat berpendapatan rendah di negara ini bakal menikmati perkhidmatan internet percuma selama 30 minit setiap hari.
Pemberian akses percuma itu dijangka memberi manfaat kepada lebih 5 juta pengguna internet sedia ada di seluruh negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berharap langkah ini mampu meningkatkan lagi kadar penembusan jalur lebar di kalangan rakyat tempatan.
Najib berkata, "Yang mana perkhidmatan itu perlulah kita sediakan dalam jangka waktu secepat mungkin bukan sahaja kerana kemampuan dari segi daya saing tetapi perkembangan perkapita negara dapat dipacu dengan lebih hebat lagi. Mengikut kajian diperingkat antarabangsa 10 % peningkatan dari segi ‘high speed broad band’ akan membawa kepada peningkatan 1 %DGP."
Katanya mekanisme penyediaan akses internet percuma itu akan diperinci Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan.
Najib berkata demikian pada Majlis Ramah Mesra Warga Telekom Malaysia (TM) bersama Perdana Menteri.
Beliau pada masa sama memuji kejayaan tm melaksanakan penyambungan jalur lebar berkelajuan tinggi di 1.38 juta premis berbanding sasaran 1.34 juta pada 2012.
Pada majlis itu, Perdana menteri turut mengumumkan sagu hati berjumlah RM 500 daripada TM kepada semua kakitangannya.
TM turut menyampaikan sumbangan RM 100 000 masing-masing untuk tabung amanah perwira negara dan tabung kebajikan PDRM.