Internet Pakej Perpaduan RM30 dijual mulai hari ini - Fahmi

Bernama
Februari 28, 2023 18:27 MYT
Pakej Perpaduan Prabayar Internet Mudah Alih dengan harga serendah RM30 mula dijual bermula hari ini, kata Fahmi Fadzil. - Gambar BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pakej Perpaduan Prabayar Internet Mudah Alih dengan harga serendah RM30 mula dijual bermula hari ini.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, menerusi pakej itu golongan belia, B40, warga emas dan Orang Kurang Upaya mendapat manfaat perkhidmatan Internet berkelajuan tinggi pada harga yang lebih murah.
"Dalam masa singkat, KKD (Kementerian Komunikasi dan Digital) berjaya dapatkan persetujuan penyedia perkhidmatan telekomunikasi bagi pakej selama enam bulan pada harga murah. Penghargaan kepada syarikat terlibat kerana menyahut seruan kerajaan untuk meringankan beban rakyat.
"Banyak lagi inisiatif kemudahan telekomunikasi akan diumumkan tidak lama lagi demi memastikan rakyat menikmati kemudahan akses Internet," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran pakej berkenaan di sini hari ini.
Turut hadir timbalannya Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha KKD Datuk Seri Mohammad Mentek serta wakil syarikat telekomunikasi.
Fahmi berkata pakej itu melibatkan lima syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi iaitu CelcomDigi, Maxis, UMobile, Telekom Malaysia (TM) dan YTL Communications.
Mengulangi pendirian kementerian untuk menyelesaikan isu 'dropped calls' atau panggilan telefon bimbit tiba-tiba terputus di 97 peratus kawasan berpenduduk menjelang Jun ini, Fahmi berkata dalam minggu-minggu mendatang, KKD akan berbincang dengan syarikat telekomunikasi untuk mengenal pasti kawasan terjejas.
Beliau berkata langkah itu selaras dengan hasrat dan sasaran KKD untuk memastikan 80 peratus capaian liputan 5G di seluruh negara menjelang akhir tahun ini. - BERNAMA
#Internet Pakej Perpaduan #internet berkelajuan tinggi #Kementerian Komunikasi dan Digital #Fahmi Fadzil
;