Internet lemah di pedalaman, tidak ganggu fokus pelajar SPM
Syah Hairizal Kamalul Arifin
Februari 20, 2021 14:21 MYT
Februari 20, 2021 14:21 MYT
KENINGAU: Tumpuan pelajar terhadap konsep Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sedikit sebanyak boleh terganggu apabila berdepan masalah capaian internet yang lemah, terutamanya bagi mereka yang tinggal di daerah pedalaman di negeri Sabah.
Namun, bagi sesetengah pelajar di daerah Keningau, sesi pembelajaran secara bersemuka dengan guru yang dimulakan semula pada awal tahun ini dilihat mampu membantu mereka walaupun dalam tempoh yang singkat.
Bagi pelajar dari Sekolah Menengah Apin-Apin, Keningau, Angie Aldrina Joelius, 17, peluang bersemuka dengan guru amat dihargainya, namun waktu yang singkat tersebut amat dikesali kerana dia bimbang jika masih kurang persediaan menjelang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia SPM Isnin ini.
"Bagi saya, sejujurnya saya belum bersedia 100 peratus untuk menduduki SPM.
"Kalau boleh, saya mahu sedikit lagi masa belajar dengan guru-guru secara bersemuka sebab pembelajaran dalam talian yang dijalankan sebelum ini, bagi saya kurang memberangsangkan.
"Salah satu faktornya adalah capaian internet yang tidak menentu. Kadang-kadang ada dan kadang-kadang tiada.
"Selain itu, faktor lain seperti keadaan di rumah yang tidak sesuai seperti bising dan sebagai pelajar saya rasa sangat sukar untuk mendisiplinkan diri apabila berada di rumah, berbanding di sekolah.
"Cuma saya harap boleh skor juga walaupun dalam keadaan yang begini," katanya yang ditemui dalam tinjauan persiapan akhir pelajar SPM di Keningau pada Sabtu.
Menjelang SPM | Capaian internet lemah jadi kekangan pelajar SPM
Pendapat berbeza disuarakan seorang lagi pelajar, Muhammad Shahril Bahlie, 17, baginya sesi pembelajaran dalam talian bersama guru sambil dibantu medium pembelajaran atas talian yang lain membuatkan dia berpuas hati dengan persediaan yang dibuat.
"Saya yakin bahawa dengan pembelajaran yang saya belajar di rumah semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu lebih efektif berbanding yang dengan guru.
"Kerana dulu saya belajar dengan guru, balik sahaja saya tidak buat kerja rumah. Biasalah tabiat pelajar yang belajar di sekolah, tetapi di rumah terus tidur ataupun main game.
"Tetapi dengan adanya PKP, saya rasa saya dapat mengatur pembelajaran saya melalui jadual dan saya kena disiplin sendiri," katanya.
Jelasnya, galakan ibu bapa atau penjaga dan semangat untuk belajar dari pelajar akan mampu membuatkan setiap kesusahan ditangani dengan bijak tanpa memberikan sebarang alasan sebelum benar-benar mencuba.
"Semua itu bergantung kepada pelajar masing-masing sama ada mereka mahu tingkatkan prestasi mereka ataupun tidak, atau mereka mahu rasa mengalah sahaja dengan keadaan sekarang ini.
"Walaupun sekarang ini kita guna pembelajaran melalui internet, itu bukan alasan untuk kita tidak dapat cemerlang dalam SPM. Sebenarnya ini adalah peluang bagi diri saya, ini merupakan peluang dari peringkat lain untuk kita tingkatkan prestasi sebab kalau kita diberi peluang untuk 100 hari untuk kita belajar, tapi kalau tidak ada disiplin dalam mengulang kaji di rumah, tiada guna.
"Jadi pembelajaran di rumah ini perlu dan pembelajaran di sekolah itu perlu, apabila digabungkan dengan kelas tambahan serta ada bersemuka dan ia ebih efektif bagi saya," katanya.
Tambahnya waktu terluang diluar sesi bersama guru digunakannya untuk melayari sumber pembelajaran subjek berkaitan dari saluran YouTube.
"Tambahan pula, semasa PKP hari itu, cikgu saya tidak dapat sentiasa di dalam talian sepenuhnya, jadi saya lebih mengutamakan YouTube.
"YouTube adalah saluran yang saya banyak belajar, contohnya Matematik, dulu saya langsung tidak tahu konsep, sekarang saya tahu konsep. Apa yang perlu saya buat dari Matematik itu. Malahan, saya dapat cara tambahan untuk menjawap subjek Matematik.
"Jadi pandangan saya terhadap semua pelajar yang duduki SPM, dari segi persediaan beberapa hari lagi, Jangan lagi study hard, tengok-tengok sahaja apa latihan yang kamu sudah buat dan yang penting ialah kamu perlu banyakkan hubungan dengan Tuhan, berdoa dan lengkapkan ibadah kamu.," jelasnya
Isnin ini, seramai 33,503 pelajar di negeri itu dijangka menduduki peperiksaan SPM bagi sesi 2020.
Peperiksaan tersebut terpaksa ditunda ke tahun ini selepas pandemik COVID-19 yang mula melanda negara awal tahun lalu.
#pelajar
#Sijil Pelajaran Malaysia
#SPM
#PdPR
#dalam talian
#bersemuka dengan guru
#guru
#sekolah
#ulang kaji pelajaran
#peperiksaan
#Sabah
#Keningau