AS International Half Marathon: Lebuhraya AKLEH, SUKE ditutup sementara mulai 5 petang esok
Bernama
Februari 2, 2024 19:37 MYT
Februari 2, 2024 19:37 MYT
KUALA LUMPUR: Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) memaklumkan dua lebuh raya kendaliannya iaitu Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) dan sebahagian laluan di Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) akan ditutup sementara sempena penganjuran AS International Half Marathon esok.
Prolintas dalam kenyataan hari ini memaklumkan penutupan itu akan dilaksana dari 5 petang esok hingga 2 pagi 4 Feb.
"Bagi Lebuhraya AKLEH, penutupan sepenuhnya dilaksanakan dalam tempoh tersebut di kesemua laluan keluar dan masuk manakala hanya sebahagian jajaran Lebuhraya SUKE iaitu melibatkan semua susur keluar dan masuk bermula dari selepas Exit 1907 (Persimpangan Tasik Tambahan) hingga ke Exit 1914 (Persimpangan Bukit Antarabangsa) bagi kedua-dua arah, akan ditutup dalam tempoh sama.
"Bagaimanapun, pengguna dari arah Sri Petaling masih boleh menggunakan Lebuhraya SUKE hingga ke Exit 1907 (Persimpangan Tasik Tambahan) iaitu susur keluar ke Jalan Taman Putra atau Hulu Langat," katanya.
Kenyataan itu memaklumkan semua laluan yang ditutup akan dibuka semula kepada pengguna bermula 2.01 pagi 4 Feb dan mereka disaran mematuhi papan tanda jalan di sepanjang jajaran lebuh raya serta arahan petugas trafik di lokasi.
"Pihak Operasi AKLEH dan SUKE bekerjasama dengan Lembaga Lebuhraya Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan pihak penganjur bagi memastikan keadaan lalu lintas sepanjang acara berkenaan berjalan lancar," katanya.
Pengguna yang mempunyai sebarang pertanyaan, aduan atau memerlukan maklumat lanjut, boleh menghubungi talian Hotline Prolintas di 1-800-22-8888 atau e-mel ke feedback@prolintas.com.my.
-- BERNAMA