Integriti tidak terhad kepada penjawat awam, ahli politik

Bernama
Januari 30, 2018 05:05 MYT
Dr Anis berkata adalah amat penting untuk masyarakat memahami konsep integriti secara menyeluruh yang dapat membantu mengelakkan sebarang salah faham. - Gambar fail
Isu integriti tidak terhad kepada penjawat awam atau ahli politik semata-mata, sebaliknya ia merangkumi setiap segmen masyarakat, kata Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia (Integriti) Datuk Dr Anis Yusal Yusoff.
Beliau berkata adalah amat penting untuk masyarakat memahami konsep integriti secara menyeluruh yang dapat membantu mengelakkan sebarang salah faham.
"Hendak jadi orang beradab kena ada integriti... sebab itulah dalam menangani isu integriti ini, ia melibatkan setiap lapisan masyarakat, kita tidak boleh fokus kepada sesiapa (mana-mana pihak) dan sebab itulah kita lancarkan salah satunya modul integriti untuk prasekolah.
"Kita percaya anak-anak akan jadi pemimpin pada masa akan datang, jadi mereka perlu dibentuk dari awal bermula usia empat atau lima tahun," katanya kepada pemberita selepas program 'Roadshow Integriti' peringkat negeri di Pusat Koreksional Perlis dekat sini, pada Selasa.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyampaikan titah menutup program berkenaan.
Dalam pada itu, Anis Yusal berkata pihaknya sentiasa komited dalam menghasilkan pelbagai modul integriti yang boleh diguna pakai oleh mana-mana pihak termasuk setiap parti politik, jabatan, agensi kerajaan mahupun institusi pendidikan.
"Modul-modul ini dapat membantu menjayakan agenda pembudayaan, penghayatan serta pengukuhan integriti dalam komuniti masing-masing," katanya.
Beliau berkata pihaknya juga sangat terbuka dan bersedia membantu memberikan gambaran jelas dalam perencanaan program atau aktiviti integriti agar lebih tersusun dan memberi impak menyeluruh kepada kumpulan sasaran.
Sementara itu, Tuanku Syed Faizuddin bertitah integriti harus dibudayakan dalam masyarakat dan ia bukanlah satu pilihan jika rakyat mendambakan negara yang sejahtera dan maju.
"Tidak kira apa juga agama yang kita anuti, setiap daripada kita perlu memainkan peranan yang menyeluruh untuk menyemai nilai-nilai murni demi melahirkan satu komuniti yang berintegriti, selaras dengan prinsip-prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara," titah baginda.
Pada jerayawara itu, pihak Integriti turut menandatangani perjanjian persefahaman dengan Kolej Universiti Islam Perlis untuk bekerjasama dalam bidang-bidang berkaitan usaha memupuk agenda integriti.
-- BERNAMA
#Dr Anis Yusal Yusoff #integriti #kerajaan #Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia #pendidikan #penjawat awam #politik
;