Integriti SPRM sedang menangis, rehatkan Azam Baki- Pemuda PH

Raja Hisyam Raja Zaid
Januari 7, 2022 15:24 MYT
Pemuda Pakatan Harapan (PH) dan Pemuda Amanah Nasional (Amanah) membuat laporan polis berhubung pemilikan saham oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, petang ini. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Selepas Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan beberapa Ahli Parlimen membuat laporan polis berkenaan isu pemilikan saham oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki, Pemuda Pakatan Harapan (PH) dan Pemuda Amanah Nasional (Amanah) pula melakukan perkara sama petang ini.
Jelas Ketua Pemuda Harapan, Howard Lee Chuan How, tindakan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) yang dilihat seakan turut mempertahankan Azam dalam isu tersebut juga tidak dapat diterima sama sekali.
"Percubaan melebur dosa dan pengisytiharan ‘puas hatinya’ oleh Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) terhadap penjelasan Azam Baki yang tidak disusulkan dengan penampilan bukti-bukti yang kukuh dan berasas terhadap dakwaan-dakwaan tersebut bagai sudah jatuh ditimpa tangga.
"Harus ditekankan, LPPR tidak mempunyai sebarang kuasa siasatan, apatah lagi kuasa beri kata putus sama ada sesuatu dakwaan terhadap Ketua Pesuruhjayanya berunsur jenayah atau tidak. Kuasanya ada kepada Suruhanjaya Sekuriti, PDRM dan mahkamah," jelasnya pada sidang media di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.
SEMUA MENGENAI KONTROVERSI MEMBABITKAN AZAM BAKI DI SINI
Malah katanya lagi, kenyataan yang dilakukan oleh Azam dan juga LPPR telah dijadikan bahan jenaka dan ketawa yang memalukan institusi teras negara ini iaitu SPRM.
"Integriti negara sedang menangis ketika ini. Ia bukan lagi soal individu iaitu Azam Baki atau siapa, tetapi telah merosakkan maruah dan integriti institusi teras dalam negara," katanya lagi.
Malah isu ini tambahnya wajib dibahaskan di Parlimen pada persidangan akan datang jika kerajaan benar- benar mahu menyelesaikan kemelut yang melanda ini.
Sementara itu menurut Timbalan Ketua Pemuda Amanah, Nik Abdul Razak Nik Md Ridzuan, pihaknya juga kecewa kerana Perdana Menteri masih membisu tanpa menyatakan pendirianya terhadap tindakan Azam Baki.
Justeru katanya satu jawatankuasa siasatan yang lebih bebas harus dibentuk bagi memberi laluan siasatan terhadap Azam Baki dan Ketua Pesuruhjaya SPRM itu perlu direhatkan sementara siasatan dijalankan.
#Azam Baki #pemilikan saham Azam Baki #Howard Lee Chuan How #SPRM
;