Integriti perlu diajar seawal di peringkat sekolah - EAIC

Bernama
Jun 14, 2024 23:54 MYT
Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) Tan Sri Dr Ismail Bakar menghadiri Program Ruang Bicara bertajuk 'Penguatkuasa Berintegriti Membina Negara Bermaruah' di Wisma Bernama malam ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Semangat integriti perlu diajar seawal mungkin termasuk di peringkat sekolah bagi memastikan generasi baharu yang memasuki alam pekerjaan di sektor awam dan swasta kelak bebas daripada sebarang kelakuan penyalahgunaan kuasa dan rasuah.

Ringkasan AI
  • Integriti perlu diajar seawal mungkin di sekolah untuk memastikan generasi baharu bebas daripada penyalahgunaan kuasa dan rasuah.
  • Proses pemilihan dan pengambilan calon dalam sektor awam perlu diperketat untuk memastikan calon yang layak dan berintegriti diterima.
  • Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) menerima 176 aduan berkaitan salah laku tahun ini, kebanyakan melibatkan Jabatan Imigresen.

Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) Tan Sri Dr Ismail Bakar berkata perkara itu boleh dilakukan dengan memasukkan topik integriti ke dalam mana-mana pembelajaran di sekolah seperti mata pelajaran pendidikan sivik agar murid dan pelajar memahami kepentingan jati diri yang kuat dalam melaksanakan tugas mereka.
"Walaupun ia bukan perkara yang wajib, ia boleh dilaksanakan sebab untuk mendidik semangat integriti ini bukanlah usaha yang memerlukan kos tinggi. Hanya sama ada mahu atau tidak, itu sahaja dan ibu bapa juga harus memberi tunjuk ajar mana perkara yang betul dan salah. Itu perkara yang wajib dan penting untuk tanam kepada anak masing-masing," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu jemputan program Ruang Bicara bertajuk "Penguat Kuasa Berintegriti Membina Negara Bermaruah" terbitan Bernama TV malam ini.
Ismail berkata bagi mengelak kepincangan dalam sektor awam, proses pemilihan dan pengambilan calon-calon yang bakal berkhidmat juga harus diteliti semula dan diperketat bagi memastikan pembaharuan berkaitan integriti dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
"Hal ini penting untuk pastikan hanya calon yang betul-betul layak diterima dalam perkhidmatan awam, terutama dalam agensi penguatkuasaan yang mempunyai kuasa yang banyak dalam laksanakan tugas harian mereka.
"Kadang-kadang dari segi kelayakan (akademik) sudah cantik tetapi apabila sudah menjawat jawatan, mereka tiba-tiba berubah sikap, jadi kita kena bermula tegas dari proses pengambilan itu," katanya.
Semalam, Ismail mendedahkan suruhanjaya itu menerima 176 aduan berkaitan salah laku tahun ini dengan kebanyakan melibatkan Jabatan Imigresen.
Beliau berkata daripada 176 aduan itu, antara aduan utama dikenal pasti ialah berkaitan aduan atau laporan yang tidak diambil tindakan sewajarnya hingga menyebabkan kekecewaan kepada pengadu iaitu 59 aduan, selain aduan agensi tidak mengikut prosedur operasi standard (37), salah guna kuasa (24) serta rasuah (19).
-- BERNAMA
#integriti #EAIC #peringkat sekolah #ismail bakar
;