'Integriti pemimpin jamin kejayaan negara' - Sultan Nazrin
Wan Syamsul Amly
Oktober 31, 2016 14:54 MYT
Oktober 31, 2016 14:54 MYT
Integriti, kejujuran dan moral seseorang pemimpin menjadi asas utama kelangsungan dan kejayaan sesebuah negara.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, bertitah, ia keutamaan setiap masyarakat di dunia demi kelangsungan dan kejayaan sesebuah negara.
"Integriti turut menjamin sesebuah negara dan rakyatnya terus berada dalam keadaan yang baik terutama dikelilingi masyarakat pelbagai budaya.
"Masyarakat di mana-mana, saya percaya, mahu perkara yang sama - sama ada mereka adalah penduduk sebuah negara barat yang maju; sama ada dalam negara ekonomi yang baru muncul; atau sama ada mereka berada dalam dunia ketiga yang mundur dan bergolak - mereka semua mahu kepimpinan yang berintegriti dan akan memperbaiki kehidupan mereka sekali gus membuat hari esok mereka lebih baik daripada semalam," titah baginda ketika melancarkan buku 'Being Abdullah Ahmad Badawi - The Authorised Biography', di sini hari ini.
Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim. Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan isteri, Tun Jeanne Abdullah serta penulis buku berkenaan, Datuk Wong Sulong.
Buku setebal 536 muka surat itu antara lain memuatkan latar belakang dan sejarah perjalanan hidup Tun Abdullah, terutama liku perjuangannya dalam politik dan pentadbiran negara.
Titah baginda, kepentingan integriti menjadi keutamaan masyarakat termasuk oleh sikap rakyat Amerika Syarikat (AS) yang mengutamakan nilai itu pada calon pemimpin mereka menjelang pilihan raya presiden negara itu.
Tun Abdullah secara rasmi mengambil alih jawatan Perdana Menteri yang kelima negara pada 31 Oktober 2003. Beliau mempunyai latar belakang agama yang kukuh dan membentuk keperibadian sebagai seorang yang berakhlak mulia, lemah lembut dan bersifat kesederhanaan dalam melakukan tanggungjawab.
Lima pelan yang diperkenalkan semasa pemerintahannya adalah Pembangunan Modal Insan, Pelan Integriti Nasional, Misi Nasional, Pembangunan Koridor Wilayah dan Islam Hadhari.
#Abdullah Badawi
#Being Abdullah Ahmad Badawi
#sultan nazrin
#Sultan Nazrin Muizzuddin Shah
#Sultan Perak
#Zahid Hamidi