Integrasi sistem percepat proses permohonan kewarganegaraan
Bernama
Mei 18, 2023 16:33 MYT
Mei 18, 2023 16:33 MYT
PUTRAJAYA: Permohonan kewarganegaraan akan dapat diproses lebih pantas apabila permohonan semakan dan keputusan tapisan keselamatan dibuat secara dalam talian, kata Ketua Pengarah Pendaftaran Negara Zamri Misman.
Beliau berkata Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang dalam usaha mengadakan integrasi sistem bagi membolehkan permohonan semakan dan keputusan tapisan keselamatan dibuat secara dalam talian.
"Sekiranya integrasi sistem antara kedua-dua agensi itu dapat dilaksanakan Oktober ini, tempoh pemprosesan tapisan keselamatan dapat dikurangkan dari 53 hari kepada lima hari bekerja," katanya.
Bagi permohonan yang bermasalah pula, tempoh masa pemprosesan dapat dikurangkan dari 73 hari kepada 14 hari bekerja, katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) JPN di sini hari ini.
Beliau berkata JPN kini dalam usaha mempercepatkan proses pertimbangan dan membuat keputusan bagi permohonan kewarganegaraan yang telah diturunkan kuasa oleh Menteri Dalam Negeri kepada Ketua Pengarah Pendaftaran Negara.
JPN-KEWARGANEGARAAN 2 (AKHIR) PUTRAJAYA
Ia melibatkan bagi permohonan kewarganegaraan di bawah Perlembagaan Persekutuan Perkara 15(1) [Pendaftaran isteri dan anak warganegara] dan Perkara 16 [Pendaftaran kerana lahir sebelum Hari Merdeka], katanya.
"Permohonan yang telah selesai diproses akan segera dipertimbangkan melalui Panel Jawatankuasa yang bersidang pada setiap minggu," katanya.
Zamri berkata JPN menyasarkan 3,000 permohonan kewarganegaraan dapat dikeluarkan keputusan menjelang akhir tahun ini.
Pada majlis itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyampaikan APC kepada 348 warga JPN termasuk dua penerima orang kurang upaya (OKU).
-- BERNAMA