Integrasi sistem dan data, mudahkan proses vaksinasi - Pakar kesihatan awam

Madiha Abdullah
Mei 27, 2021 12:11 MYT
Integrasi sistem dan data juga boleh dilaksanakan bagi membolehkan pemberian vaksin bergerak lebih pantas dan lancar.
KUALA LUMPUR: Kerajaan ketika ini perlu memfokuskan kepada usaha memudahkan proses vaksinasi, seperti mana yang dilakukan di negara-negara luar.
Pakar Kesihatan Awam, Prof Madya Dr Malina Osman berpendapat, selain mewujudkan sistem vaksinasi secara walk-in, integrasi sistem dan data juga boleh dilaksanakan bagi membolehkan pemberian vaksin bergerak lebih pantas dan lancar.
"Sistem walk-in memang akan memudahkan. Contohnya di Amerika Syarikat, mereka ada pusat pemberian vaksin di stadium, melibatkan unit bergerak.
"Tetapi perlu diingat, vaksin tak boleh diberi begitu sahaja. Kena ada sistem sokongan yang teratur. Kerana, kita bimbang dengan situasi kecemasan.
"Seperti, jika ada kesan sampingan atau alahan, kita mahu pastikan kita beri respon yang cepat dan pantas. Jadi, integrasi kemudahan dan sistem data itu sama penting," katanya.
Beliau berkata demikian ketika muncul dalam Niaga AWANI hari ini.
Dalam masa yang sama, Dr Malina juga berpendapat, vaksin AstraZeneca tidak perlu lagi diasingkan dari sistem pendaftaran di aplikasi MySejahtera, memandangkan sambutan dan penerimaan baik masyarakat.
"Memang sebelum ini kita ada dengar kebimbangan orang ramai di media sosial. Tetapi sekarang sudah terbukti perkara itu tidak wujud di dunia nyata.
"Sebaliknya, orang ramai sangat bermotivasi dan bersemangat menerima apa sahaja jenis vaksin.
"Kerana itu, pada pandangan saya, tak perlu lagi kita asingkan AstraZeneca daripada sistem MySejahtera. Sebaliknya, kita berikan opsyen itu di aplikasi berkenaan. Ia akan memudahkan orang ramai," ujarnya.
Semalam, slot pusingan kedua tempahan vaksin itu habis dalam tempoh kira-kira satu jam.
Lebih mengecewakan apabila laman web www.vaksincovid.gov.my gagal dilayari kerana dipercayai menerima capaian trafik yang tinggi sehingga orang ramai tidak dapat menempah slot meskipun sudah menunggu lebih awal sebelum waktu pendaftaran dibuka jam 12 tengah hari.
Dr Malina juga melihat isu yang timbul ketika sesi pendaftaran boleh mengganggu momentum dan keterujaan orang ramai untuk mendapatkan vaksin.
Justeru, penambahbaikan perlu dijalankan secepat mungkin dan kerajaan juga perlu menyusun semula sistem pengagihan vaksin bagi memastikan kelancaran prosesnya.
"Saya harap maklum balas yang diterima akan digunakan untuk penambahbaikan secepat mungkin.
"Apa yang berlaku semasa pendaftaran semalam sepatutnya sudah boleh dijangka, kerana bukan sahaja untuk vaksin, tetapi semua laman web yang menerima capaian tinggi serentak, mesti akan ada masalah," katanya.
Dr Malina juga mencadangkan kerajaan menyusun kembali senarai penerima vaksin mengikut keperluan.
"Sebagai contoh, warga emas, atau mereka yang dalam sektor ekonomi yang paling terjejas.
"Salah satu punca situasi semalam adalah syaratnya, iaitu 18 tahun ke atas. Jadi, jumlahnya memang ramai.
"Kalau disusun kembali, mungkin akan lebih memudahkan," tambahnya.
#COVID-19 #Pusat Pemberian Vaksin #vaksin #AstraZeneca #pendaftaran
;