Integrasi antara kementerian patut ada untuk selesaikan pelbagai isu bersama - Pakar
Israr Khalid
Disember 24, 2021 11:06 MYT
Disember 24, 2021 11:06 MYT
KUALA LUMPUR: Setiap satu projek kerajaan seharusnya menuntut kerjasama rapat antara kementerian supaya tadbir urusnya senada dan isu-isu berkait di bawah setiap kementerian terlibat dapat diurus dengan lebih cekap.
Dengan ini, tegas Pengarah Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Sungai dan Saliran Bandar (REDAC), Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Nor Azazi Zakaria, apa sahaja masalah dapat diselesaikan dengan tuntas.
Malah katanya, perbelanjaan untuk sesuatu projek dapat dibuat dengan lebih strategik sekiranya ada perancangan yang lebih rapi dan menyeluruh.
“Ketika kita menghadapi banjir ini, ada kawasan lain di Selangor yang tak mendapat bekalan air, itu isu lain di bawah kementerian lain. Ada juga petani tak dapat air untuk kebun mereka, itu (bidang kuasa) kementerian lain. Ada juga isu sungai kotor, itu kementerian lain.
“Tidak ada pelan bersepadu antara kementerian dengan kementerian. Tak ada isu yang tak dapat diselesaikan apabila kita duduk semeja,” katanya.
Apa yang beliau kesalkan, sudah ada banyak persidangan dan siri dialog diadakan berkenaan hal ehwal perancangan bandar, pengurusan bencana dan sebagainya, tetapi seakan tidak diambil serius dan dimanfaatkan untuk diterapkan dalam dasar-dasar kerajaan.
Maka dengan musibah yang melanda kali ini, diharapkan dapat membuka mata mereka untuk berfikir dan bekerja dengan lebih bersungguh demi kesejahteraan negara.
“Sekiranya kita gabungkan bajet kementerian, satu projek mesti menyelesaikan semua isu-isu tadi, banjir, kekurangan bekalan air, kekotoran sungai dan pertindihan antara tadbir urus kementerian.
“Perlu ada satu Kementerian Air contohnya, bukan lagi campur-campur kementerian yang terlibat sekali atau sebaliknya kita jadikan Menteri Air itu sebagai menteri kanan, menteri pneyelaras yang mana kementerian-kementerian lain akan ikut arah tujunya. Itu sahaja kaedahnya,” katanya.
Tonton temu bual Nor Azazi dalam program Dialog Tiga Penjuru bersama hos Dzulfitri Yusop, di sini:
Integrasi antara kementerian perlu ada untuk selesaikan pelbagai isu bersama - Dr. Nor Azazi
Dialog Tiga Penjuru: Banjir | Tragedi, malapetaka dan birokrasi