"InsyaAllah, Hadi akan hadir mesyuarat Pakatan Rakyat" - Mat Sabu

Irwan Muhammad Zain
Februari 6, 2015 15:35 MYT
MAT SABU: "InsyaAllah, Hadi akan datang mesyuarat". - Gambar Astro AWANI/Shahir Omar
Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu yakin presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan menghadiri mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Rakyat yang akan diadakan di Ibu Pejabat PAS, Ahad ini.
Mohamad berkata beliau dimaklumkan, Abdul Hadi akan menghadiri mesyuarat tersebut setelah sekian lama ia tidak diadakan.
"Saya dimaklumkan bahawa Ustaz Hadi akan menghadiri mesyuarat PAS Pusat pada sebelah pagi dan pada sebelah petang mesyuarat Pakatan Rakyat.
"Kalau orang Islam kata, Insya-Allah kerana anda tidak tahu apa yang akan berlaku hari itu. Sekiranya saya jatuh sakit pada hari itu, mungkin saya tidak akan hadir," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PAS hari ini.
Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Rakyat yang dijadualkan pada Ahad, dijangka membincangkan beberapa perkara berbangkit antaranya mengenai Hudud yang mahu dilaksanakan PAS di Kelantan dan Pilihan Raya PBT yang mahu diadakan oleh DAP di Pulau Pinang.
Pada Khamis, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dilaporkan sebagaiwakil dari partinya hanya akan menyertai mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Rakyat sekiranya Abdul Hadi hadi ke mesyuarat tersebut.
Alasan yang diberikan, kerana DAP tidak mahu pemimpin PAS membuat sebarang tindakan yang bercanggah dengan keputusan Pakatan Rakyat selepas mesyuarat itu.
Selain DAP, PKR juga berharap Abdul Hadi akan hadir ke mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Rakyat yang akan berlangsung Ahad ini.
Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli berkata, kehadiran Abdul Hadi dilihat perlu kerana ia mesyuarat yang diatur dan semua pemimpin parti dalam pakatan Rakyat sudah dipanggil.
"Beliau dipanggil untuk hadir. Kita berharap beliau akan hadir.
"Tapi, segala keputusan terletak pada Abdul Hadi dan sebagai rakan dalam parti, PKR hanya mahu lihat semua pemimpin hadir untuk mencapai keputusan yang bakal dibincangkan," katanya.
#Abdul Hadi Awang #DAP #Mohamad Sabu #PAS #PKR
;