'Insya-Allah satu Malaysia akan gembira' - Kakak kepada ibu Zayn Rayyan
Firdaus Azil
Jun 12, 2024 15:35 MYT
Jun 12, 2024 15:35 MYT
PETALING JAYA: Kakak kepada ibu Zayn Rayyan berharap esok akan menghadirkan sinar buat keluarganya.
Ringkasan AI
- Harapan Keluarga: Kakak kepada ibu Zayn Rayyan berharap keputusan selepas tempoh tahanan reman berakhir esok akan memihak kepada adik bongsunya. Dia dan beberapa adik-beradik yang lain hadir ke mahkamah untuk melihat prosiding tertutup membabitkan adik bongsu mereka.
- Bantahan Peguam: Dua peguam yang mewakili ibu Zayn Rayyan, Mahmud Abdul Jumaat dan Fahmi Abdul Moin, membantah permohonan polis untuk merekodkan pengakuan anak guam mereka. Bantahan ini dilakukan atas alasan polis cuba menggunakan akta tidak relevan di bawah Kanun Tatacara Jenayah (CPC) dan Akta Keterangan untuk prosiding tersebut.
- Tiada Pengakuan Bersalah: Ibu Zayn Rayyan tidak membuat sebarang pengakuan bersalah. Hanya ibu Zayn Rayyan yang dibawa untuk menghadiri prosiding tertutup itu.
Wanita berusia 42 tahun itu berkata, dia optimis keputusan selepas tempoh tahanan reman berakhir esok akan memihak kepada adik bongsunya yang berstatus orang yang disyaki dalam kes pembunuhan kanak-kanak autistik itu.
Katanya lagi, dia bersama beberapa adik-beradik yang lain hadir ke mahkamah untuk melihat prosiding tertutup membabitkan adik bongsu mereka itu.
“(Adakah anda lega hari ini?) Ya Allah, Alhamdulillah,” katanya ringkas kepada media.
Ditanya siapa lagi akan gembira susulan prosiding hari ini, dia menjawab, “Insya-Allah satu Malaysia (akan gembira)".
Sementara itu, Zahari Mohd Reba, 56, datuk kepada kanak-kanak autistik Zayn Rayyan Abdul Matiin yang disyaki dibunuh pada Disember tahun lalu, berkata mereka sekeluarga akan terus kuat.
"Alhamdulillah, lega hari ini dah selesai. Kami akan datang ke mahkamah lagi esok (tamat reman).
"Saya tidak mahu beri sebarang kenyataan dan menyerahkan semuanya kepada peguam," katanya.
Terdahulu kedua-dua peguam yang mewakili ibu Zayn Rayyan membantah permohonan polis untuk merekodkan pengakuan anak guam mereka di Mahkamah Majistret 2, di sini.
Dua peguam tersebut, Mahmud Abdul Jumaat dan Fahmi Abdul Moin berkata bantahan tersebut dilakukan atas alasan polis cuba menggunakan akta tidak relevan di bawah Kanun Tatacara Jenayah (CPC) dan Akta Keterangan untuk prosiding tersebut.
Selain itu, mereka berdua menegaskan, tiada sebarang notis diberikan dari pihak pegawai penyiasat, kepada mereka selaku peguam terhadap prosiding yang dilakukan secara tertutup itu.
Untuk rekod, hanya ibu Zayn Rayyan yang dibawa untuk menghadiri prosiding tertutup itu.