Insurans sebelum kahwin mungkin diperkenal untuk jamin nafkah selepas bercerai

Astro Awani
Ogos 13, 2016 20:38 MYT
Menurut Jamil semakin ramai golongan bapa yang dipenjarakan akibat ingkar perintah pembayaran nafkah. - Gambar fail
Malaysia mungkin akan perkenalkan perkhidmatan insurans sebelum berkahwin atau Ta'mim bagi menjamin nafkah isteri dan anak-anak apabila berlaku penceraian.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom memaklumkan, inisiatif itu dilihat mampu menjadi alternatif membantu mengatasi masalah kecuaian pembayaran nafkah yang kini menjadi isu global.
Langkah berkenaan katanya, mampu menambahbaik urusan memantau, mengendalikan kes dan menghulurkan bantuan kepada ibubapa dan anak-anak yang diabaikan bayaran nafkah mereka.
"Di Mesir ada satu insurans yang dinamakan dengan Ta’mim dimana ini sebagai jaminan untuk nafkah anak dan isteri sebelum perkahwinan tu lagi. Insurans itu telah diperkenalkan. Yang ini kita belum ada lagi di Malaysia mungkin akan ada nanti kita boleh perkenalkan dengan kolaborasi dengan syarikat insurans di luar yang mungkin memperkenalkan,” kata Jamil ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Pendahuluan Nafkah Anak Bahagian Sokongan Keluarga (BSK), Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu 2016, di sini hari ini.
Tambahnya, semakin ramai golongan bapa yang dipenjarakan akibat ingkar perintah pembayaran nafkah.
Sehubungan itu, Mahkamah Syariah seluruh negara diarahkan supaya menyelesaikan kes-kes tertunggak khususnya berkaitan pembubaran perkahwinan pada 2014 dan 2015 sebelum 31 Disember tahun ini berlandaskan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan.
#Insurans penceraian #Jamil Khir Baharom #Menteri di Jabatan Perdana Menteri #Ta'mim
;