Institusi TVET KPLB perlu perluas kerjasama dengan pemain industri

Bernama
Januari 21, 2022 05:00 MYT
Mahdzir berkata pelajar TVET bukan sahaja memerlukan bimbingan tenaga pengajar malah pemain industri yang mempunyai tenaga pakar. - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (PKLB) perlu memperhebatkan kerjasama dengan industri bagi membolehkan pelajarnya mendapat pendidikan serta latihan yang relevan dengan keperluan semasa.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pelajar TVET bukan sahaja memerlukan bimbingan tenaga pengajar malah pemain industri yang mempunyai tenaga pakar.
"Kita tidak mahu sesebuah institusi pengajian TVET KPLB hanya ada ramai pelajar tetapi bila tamat pengajian, mereka tidak dapat kerja," katanya pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) (diperbaharui) antara Institut Kemahiran Tinggi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda-Tech) dan Perodua Sales Sdn Bhd, di sini pada Jumaat.
"Apabila ada kerjasama dengan pemain industri, sudah tentu tenaga pakar akan bimbing pelajar untuk tingkatkan kemahiran sejajar dengan keperluan industri dan perkembangan teknologi," katanya.
Perda-Tech dan Perodua Sales telah menjalinkan kerjasama dalam bidang latihan automotif sejak 2016 bagi membolehkan pelajar dan tenaga pengajar mendapat bimbingan dalam bidang automotif daripada tenaga profesional.
Menyifatkan kerjasama antara Perda-Tech dan Perodua Sales sebagai langkah tepat, Mahdzir berkata kerjasama seumpama itu perlu diteruskan bagi memberi peluang kepada pelajar lepasan institusi terbabit untuk berkhidmat di syarikat perusahaan automobil kedua negara.
-- BERNAMA
#TVET #KPLB #Mahdzir Khalid #pelajar
;