Institusi Raja perlu dijunjung, Shahidan perlu mohon sembah ampun!

Salim Aziz
Mei 25, 2018 18:01 MYT
Laporan polis itu dibuat di Balai Polis Arau petang tadi.
Keluarga Besar Jamalullail mewakili kerabat diraja Perlis membuat laporan polis terhadap Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN negeri itu.
Laporan itu dibuat bagi menuntut permohonan keampunan atas tindakan mereka membelakangi Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail pada istiadat pelantikan Menteri Besar Perlis semalam.
Wakilnya, Syed Zolkeflee Syed Abdul Rahman Jamalullail berkata, pihaknya berkecil hati dengan tindakan kesemua wakil BN itu yang mengundang kemurkaan baginda Tuanku Syed Sirajuddin.
Syed Zolkeflee percaya, sentimen sama turut dirasai semua rakyat Perlis yang menjunjung institusi raja.
Laporan dibuat ekoran kenyataan Datuk Seri Shahidan Kassim pada sidang akhbar di ibu negara semalam yang menyebut bahawa Tuanku Raja Perlis tidak perlu campur tangan dalam pentadbiran yang tidak sepatutnya diucapkan kepada tuanku.
"Saya bermohon kepada mana-mana pihak yang tidak setuju dengan pelantikan supaya meminta maaf balik kepada tuanku Raja Perlis kerana tuanku tidak berapa nak sedap hati, tidak seronok hingga menyebabkan pergolakan seperti ini," katanya.
Tindakan Shahidan dan semua ADUN berkenaan juga melibatkan maruah tuanku dan seluruh keluarga baginda.
Sehubungan itu mereka harus memohon maaf secara terbuka kepada Raja Perlis dan menghormati institusi diraja.
Laporan polis itu dibuat di Balai Polis Arau petang tadi.
#ADUN #Barisan Nasional #BN #istiadat #keluarga #menteri #Menteri Besar #Menteri Besar Perlis #pelantikan #Perlis #polis #Raja Perlis #rakyat #Shahidan Kassim #Syed Zolkeflee Syed Abdul Rahman
;