Institusi pendidikan harus lebih terbuka lahirkan pelajar berfikiran kritis - Anwar

Raja Hisyam Raja Zaid
Februari 11, 2023 14:18 MYT
Anwar mahu institusi pendidikan negara ini lahirkan pelajar yang berfikiran lebih kritis. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Corak poemikiran kritis dalam setiap pelajar di universiti-universiti haruslah menjadi amalan yang sihat selagi ia bersandarkan kepada fakta dan hujahan yang benar.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, ia mampu membentuk corak pemikiran Islam yang lebih dinamik dan membina jati diri yang baik dalam diri mereka pada masa depan.
Menurutnya, institusi pengajian tinggi yang ada ketika ini tidak lagi boleh kekal bersandarkan cara pemikiran yang lama iaitu hanya menjadi pengikut semata-mata atau taklid.
Katanya, pendekatan seperti itu hanya akan menjerumuskan kegagalan dan kesalahfahaman terhadap maksud sebenar yang Islam mahukan.
“Jika anda lihat masalah dalam dunia Islam ketika ini mengapa aspek ekstremis mampu menerobos ke dalam masyarakat adalah kerana kegagalan kita untuk menjadi ummah yang lebih kritis, dan kegagalan institusi-institusi pembelajaran kita termasuk universiti untuk membenarkan elemen kreativiti dan juga pemikiran kritis,” katanya ketika menyampaikan ucapan di Majlis Contribution Handover Ceremony To The Abusulayman International Student Fund (AISF) di Dewan Serbaguna, Wadi Budi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini hari ini.
Malah beliau juga katanya sudah berbincang dengan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan juga Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin untuk memastikan hak para pelajar dalam menyuarakan pandangan dan kritikan selain bersifat lebih terbuka.
Corak pemikiran Islam yang sempit juga katanya akan hanya menjerumuskan salah faham dengan disusuli dengan tindakan yang salah dan tersasar dari ajaran Islam yang sebenar.
Malah cara pemikiran Islam yang betul akan menyaksikan negara mampu menangani banyak masalah yang berpunca daripada sikap individu seperti rasuah dan juga kepincangan yang lain.
Pendekatan itu jelasnya adalah agenda utama masyarakat madani yang beliau cuba terapkan ketika ini dalam sistem pengurusan negara.
Kebanyakan krisis yang terpaksa negara depani ketika ini jelasnya mampu diatasi seandainya penerapan kefafahaman dan nilai-nilai Islam sebenar mampu diterapkan dalam diri seseorang pemimpin.
#Anwar Ibrahim #Institusi Pengajian Tinggi #Islam #Rasuah
;