Institusi pendidikan dan latihan perlu tumpu integriti, tata kelola baik - KSN

Bernama
Februari 23, 2023 10:00 MYT
Mohd Zuki berkata ia juga selari dengan konsep membangun Malaysia Madani yang dipelopori Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Bagi mengorak langkah ke hadapan, semua institusi pendidikan dan latihan perlu meletakkan integriti dan tata kelola baik sebagai tumpuan utama pemantapan tadbir urus insan di Malaysia, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Menurutnya perancangan pendidikan dan latihan diperlukan bukan sekadar memberi fokus kepada pembangunan akademik atau dokumentasi tetapi perlu terarah kepada pembangunan modal insan yang holistik.
"Institusi pendidikan dan latihan adalah platform terbaik dalam memastikan pembudayaan integriti dapat disemai dan diperbaharui dari semasa ke semasa, sinonim dengan usaha pemantapan ilmu pengetahuan yang lebih holistik dan seimbang," katanya pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Institut Integriti Malaysia (IIM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, pada Rabu.
Mohd Zuki berkata ia juga selari dengan konsep membangun Malaysia Madani yang dipelopori Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau turut berharap kerjasama antara IIM dan UKM sebagai langkah awal untuk kedua-dua pihak terutamanya IIM memperbanyak modul pendidikan integriti di pelbagai peringkat.
"Kerjasama strategik sebegini harus diperluaskan bukan sahaja dalam pembangunan pendidikan dan latihan tetapi juga dalam bidang penyelidikan dan penerbitan," katanya.
Mohd Zuki berkata negara memerlukan lebih banyak dapatan kajian terutamanya berkaitan integriti dan tata kelola untuk membantu kerajaan merangka dan membangunkan dasar lebih tepat dan bersasar.
Pada majlis itu, Mohd Zuki turut menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian Sijil Profesional Kepimpinan Integriti (SPKI) serta pelancaran buku Amanat Integriti, Governans dan Anti Rasuah.
-- BERNAMA
#Mohd Zuki Ali #institusi pendidikan #modal insan #pembangunan akademik
;