Institusi kewangan sekat RM302 juta transaksi tidak sah, mencurigakan setakat Sept 2024
Bernama
Disember 19, 2024 18:00 MYT
Disember 19, 2024 18:00 MYT
KUALA LUMPUR: Institusi kewangan dalam negara berjaya menyekat sejumlah RM302 juta transaksi tidak sah dan mencurigakan setakat September lepas, kata Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying.
Beliau berkata ia adalah impak positif yang diperoleh susulan pelaksanaan lima langkah pencegahan utama oleh institusi kewangan di bawah seliaan Bank Negara Malaysia (BNM) dalam memastikan keselamatan pengguna perbankan dalam talian terjaga.
"Sejak September 2022, institusi kewangan berjaya menyekat transaksi tidak sah dan mencurigakan bernilai RM383 juta bagi 2023 dan RM302 juta setakat September tahun ini.
"Trend kes penipuan pancingan data atau data phishing dan perisian hasad (malware) yang dilaporkan kepada BNM juga menunjukkan trend penurunan sebanyak 60 peratus," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Senator Datuk Bobbey Suan yang bertanya tentang jaminan kerajaan berhubung keselamatan pengguna melibatkan urusan perbankan dalam talian.
Mengulas lanjut, Lim berkata BNM akan terus berusaha mengukuhkan lagi keselamatan perbankan internet dan mudah alih dengan melaksanakan langkah tambahan untuk memperkasakan keupayaan institusi kewangan dalam mengesan transaksi tidak sah dan mencurigakan.
Dalam pada itu, beliau menegaskan BNM telah mengambil tindakan segera dengan mengarahkan institusi perbankan yang terlibat dengan insiden gangguan perkhidmatan perbankan dalam talian supaya menentukan punca utama gangguan.
Di samping itu, bank pusat juga mengarahkan institusi perbankan terlibat untuk menetapkan langkah pembetulan dan pencegahan yang sesuai bagi mengelakkan isu yang sama berulang.
"BNM turut membuat pemantauan rapi untuk memastikan institusi perbankan yang terlibat memulihkan perkhidmatan perbankan seperti biasa secepat mungkin.
"Lanjutan daripada penilaian ke atas punca utama dan impak gangguan yang dikemukakan, BNM telah mengambil tindakan penguatkuasaan dengan mengenakan penalti monetari pentadbiran (administrative monetary penalty) terhadap dua institusi perbankan pada 29 Julai 2024 di atas pelanggaran peruntukan undang-undang di bawah seliaan BNM," kata Lim.
-- BERNAMA