Institusi Kehakiman negara seharusnya bebas dari segi struktur, cabang utama - TI-M

Umavathi Ramayah
Ogos 20, 2022 16:37 MYT
Muhammad berkata, melalui doktrin pengasingan kuasa antara tiga cabang utama negara menyaksikan fungsi-fungsi yang ditetapkan Perlembagaan Persekutuan berjalan tanpa sebarang gangguan. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Institusi Kehakiman Malaysia seharusnya bebas dari segi struktur dan terpisah dari cadang-cabang institusi negara yang lain.
Menurut Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan, ini kerana melalui doktrin pengasingan kuasa antara tiga cabang utama negara, ia memastikan fungsi-fungsi yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan berjalan tanpa sebarang gangguan mahupun merendahkan kuasa atau fungsi mana-mana badan yang lain.
Beliau memberitahu, meskipun pelantikan seseorang hakim itu dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri, namun pelantikan itu tidak boleh dilaksanakan sewenang-sewangnya kerana Perlembagaan Persekutuan menetapkan syarat-syarat khas dan perlu memenuhi syarat minimum.
"Badan Kehakiman adalah benteng terakhir dalam sistem demokrasi berperlembagaan dan kita harus mempertahankan institusi ini.
"Apa yang saya lihat hari ini, kebebasan institusi Kehakiman wujud dan tiada sebarang campur tangan Eksekutif dan lebih-lebih lagi kerajaan baru-baru ini memberi jaminan bahawa badan tersebut adalah bebas untuk membuat keputusan berdasarkan lunas undang-undang dan bukti yang ada," katanya kepada Astro AWANI di sini, pada Sabtu.
Mahkamah | Memelihara kebebasan badan kehakiman dan legislatif
Mengulas lanjut, Muhammad berkata, Perlembagaan Persekutuan turut memberi perlindungan dalam bentuk yang menjamin sistem dan struktur badan Kehakiman daripada diganggu seperti yang telah digariskan dalam undang-undang.
Dalam pada itu, beliau menggesa polis untuk mengambil tindakan segera ke atas mana-mana pihak yang melakukan serangan atau ugutan terhadap institusi itu.
"Namun begitu, kritikan atau serangan ke atas institusi Kehakiman apabila sesuatu keputusan tidak memihak kepada mereka, saya yakin ia tidak akan mempengaruhi keputusan yang dibuat oleh mana-mana hakim kerana keputusan yang dibuat adalah bersandarkan kepada undang-undang dan bukti yang ada," jelasnya lagi.
#kehakiman #Perlembagaan Persekutuan #Transparency International Malaysia #eksekutif
;