BANGI: Institusi hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan dan negeri perlu membina jaringan komunikasi, keterlibatan dan persefahaman dalam semua aspek dengan semua agensi bagi memastikan perancangan dan pelaksanaan pengurusan hal ehwal Islam negara yang bersepadu.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata pengurusan hal ehwal Islam berbeza dengan pengurusan biasa kerana peranannya bukan sekadar pentadbiran dan pengurusan malah menjadi sumber rujukan serta panduan dalam bidang keagamaan.

"Oleh itu, pengurusan hal ehwal Islam perlu bersifat inklusif dalam semua sudut dan tidak eksklusif kepada beberapa aspek atau kumpulan tertentu sahaja.

"Sebarang tindakan sesama agamawan dan agensi agama tidak boleh silo tetapi mestilah mengambil kira kemaslahatan pelbagai pihak," katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Pengurusan Hal Ehwal Islam Sempena Ijtimak Perdana Agensi Agama Seluruh Malaysia 2022 di sini hari ini.

Mohd Zuki berkata para pentadbir agama juga perlu terlibat secara aktif dan kelihatan menonjol dalam pelbagai perkara berkaitan pengurusan pentadbiran dan pengurusan masyarakat bagi menyuarakan idea-idea baharu berasaskan pendekatan Maqasid Syariah.



MOHD ZUKI-JARINGAN 2 (AKHIR) BANGI



"Sebagai pentadbir hal ehwal agama, keperluan ruang solat yang sesuai dengan kemudahan berkaitan adalah input penting yang perlu dikemukakan oleh pengurusan hal ehwal Islam dalam mana-mana projek pembangunan kepada kerajaan," katanya.

Sementara itu, Mohd Zuki berpandangan pendigitalan perkhidmatan dalam pentadbiran hal ehwal agama hendaklah diangkat keutamaannya dengan lebih tinggi di samping memastikan pengurusan agensi agama tidak ketinggalan.

"Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) sudah tiba dan sedang menjadi kenyataan. Kemunculan teknologi baharu seperti automasi, robotik, Kecerdasan Buatan (Al), Mesin ke Mesin (M2M) dan Internet Benda (loT) telah mengubah cara dunia beroperasi.

"Walaupun pengurusan hal ehwal Islam adalah merupakan bidang kuasa negeri namun alangkah moleknya jika dapat diusahakan penyelarasan dan penyeragaman kerana keberhasilannya akan menampilkan keindahan Islam itu sendiri," katanya.

Beliau turut mengingatkan semua agensi agama Persekutuan dan negeri supaya melaksanakan dan mengamalkan pelbagai inisiatif yang dirangka kerajaan berhubung aspek pengukuhan integriti.

Kaedah yang telus dan bebas isu integriti seperti pemindahan tanpa tunai dan lain-lain transaksi kewangan merupakan antara kaedah pengurusan inovatif yang dapat meminimumkan salah laku dan isu integriti yang melibatkan wang tunai.

-- BERNAMA