Institusi diraja wajib, boleh bersuara jika lihat ketidakadilan - Syed Ali Tawfik Al-Attas

Afiezy Azaman
Februari 1, 2024 12:48 MYT
Datuk Dr Syed Ali Tawfik Al-Attas. - Foto Astro AWANI.
KUALA LUMPUR: Institusi diraja wajib dan boleh bersuara sekiranya melihat sesuatu perkara yang tidak adil berlaku di dalam negara melibatkan sebarang isu termasuk politik.
Menurut Datuk Dr Syed Ali Tawfik Al-Attas, seharusnya tidak timbul isu sama ada boleh atau tidak seseorang Sultan atau Raja masuk campur dalam bidang kuasa politik dan sebagainya.
"Hari ini kita sudah mendapat Yang di-Pertuan Agong (Sultan Ibrahim) yang baharu. Tuanku tegas sedikit. Jadi, orang semua fikir, bolehkah jika tegas? Bolehkah Sultan masuk campur dalam bidang kuasa politik, dan sebagainya?
"Tetapi, bagi saya, oleh kerana Sultan itu merupakan ketua agama, jadi apabila Sultan atau Raja melihat apa-apa yang tidak adil, mereka wajib bercakap.
"Tidak ada soalan, tidak boleh dipersoalkan, serta tidak boleh dikatakan kepada baginda bahawa, sekiranya hendak main politik, kena keluar daripada institusi monarki dulu, baru masuk politik.
"Demikian itu tidak boleh kita katakan, kerana ia menunjukkan kebiadapan kepada baginda, sebab baginda wajib bercakap, bersuara ketika melihat sesuatu yang tidak adil.
"Jadi, kita berasa berbesar hati kepada baginda sekiranya boleh bercakap begitu," kata Sarjana Pelawat di Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban Raja Zarith Sofiah (RZS-CASIS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu.
Beliau yang juga bekas Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia berkata demikian kepada Astro AWANI dalam program AWANI Pagi hari ini.
Syed Ali Tawfik turut berharap institusi diraja dapat memainkan peranan yang lebih penting dalam bidang pendidikan dan tidak dihadkan kepada hanya sesetengah perkara.
"Contohnya seperti di UTM, melalui RZS-CASIS, di mana Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah memainkan peranan penting, sebab baginda menunjukkan minat dalam pendidikan.
"Saya berharap untuk melihat lebih banyak Sultan atau Permaisuri yang memainkan peranan sebegini dalam pendidikan kerana sekiranya pendekatan itu diambil melalui pendidikan yang betul, masalah dalam bidang kuasa syariah juga akan diatasi dengan ilmu.
"Kita boleh melihat contoh sejarah dahulu, bagaimana nasihat diberikan kepada Sultan, Raja dan Khalifah atas nasihat ulama yang benar-benar arif dan tahu dalam bidang tersebut.
"Jadi, ketua negara tidak akan membuat sebarang perutusan yang salah, kerana nasihat yang diterima adalah yang bernas dan betul," ujarnya.
Peranan Ulama dan Institusi Diraja
Pada masa sama, Syed Ali Tawfik menyentuh mengenai peranan ulama dalam membangunkan tamadun dan peradaban negara yang kini semakin dipandang sepi.
Menurut beliau, institusi diraja seharusnya memainkan peranan mendapatkan nasihat yang bernas daripada mereka yang benar-benar pakar dalam sesuatu bidang.
Jelasnya lagi, golongan guru, cikgu dan ustaz semuanya dibayar gaji yang sedikit seolah-olah tidak ada pilihan yang boleh mereka buat untuk mendapatkan gaji yang lumayan.
"Tetapi jika kita lihat zaman dahulu, Sultan, Raja dan Khalifah membiayai semuanya.
"Saya boleh katakan begini, zaman lampau, ulama tersohor seperti Al-Ghazali, Ibnu Sina, Al-Biruni, mereka dibayar dalam dinar emas yang bersamaan dengan AS$30,000 sebulan kerana mereka bertanggungjawab membina tamadun dan peradaban.
"Zaman sekarang ini, yang betul-betul ulama dan membina tamadun seperti ayahanda saya (Tan Sri Prof Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas), apa yang mereka dibayar?
"Sedangkan mereka inilah yang menaik taraf tamadun, peradaban, pendidikan tetapi tidak dibiayai dengan betul. Apa gunanya?
"Orang korporat, bank, pengarah urusan dibayar dengan lumayan, mengapa tidak dengan ulama?
"Sekiranya dibayar dengan betul, kita boleh mendapatkan ulama yang betul, dan apabila mendapat ulama yang betul, maka pendidikan pun akan menjadi betul," katanya.
AWANI Pagi: Antara monarki, ilmuwan Islam dan kedaulatan institusi diraja
#institusi diraja #Syed Ali Tawfik Al-Attas #ulama #pendidikan
;