Instafamous jual minyak wangi tiruan diserbu KPDNHEP
Astro Awani
Oktober 20, 2020 21:06 MYT
Oktober 20, 2020 21:06 MYT
KUALA LUMPUR : Seorang selebriti media sosial atau 'instafamous' ditahan kerana disyaki menjual minyak wangi berjenama terkenal dipercayai tiruan dalam satu serbuan di sebuah kondominium di Taman Pinggiran Putra di sini, hari ini.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Selangor, Muhammad Zikril Azan Abdullah berkata dalam serbuan kira-kira 3 petang, pihaknya merampas lebih 1,000 botol minyak wangi yang dianggarkan bernilai RM150,000.
“Siasatan awal mendapati sebotol minyak wangi dijual dengan harga serendah RM150 hingga RM200 dan suspek mampu meraih keuntungan sehingga ribuan ringgit setiap bulan.
"Mangsa (pembeli) juga turut diberitahu produk tersebut adalah tulen,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata wanita berusia 26 tahun itu yang turut dibantu oleh suaminya telah beroperasi kira-kira setahun dari rumah berkenaan dengan memasarkan barangan berkenaan melalui platform media sosial Instagram dan Facebook.
Katanya, penguat kuasa turut menemui slip penghantaran barangan, kotak pembungkusan dan rekod transaksi perbankan
Katanya, hasil semakan transaksi juga mendapati barangan terbabit bukan sahaja dibeli oleh pembeli tempatan tetapi juga dari luar negara.
Beliau berkata suspek dibebaskan dengan jaminan polis dan akan dipanggil untuk memberi keterangan dalam masa terdekat.
Kes disiasat mengikut Sekyen 102 (1)(b) Akta Cap Dagangan 2019 kerana menjual atau menawarkan barangan disyaki menggunakan perihal dagangan palsu.
#instafamous
#jual perfume tiruan
#serbu
#KPDNHEP
#selebriti media sosial
#minyak wangi tiruan
#Selangor
#Taman Pinggiran Putra
#Muhammad Zikril Azan Abdullah
#tulen
#wanita
#Instagram
#palsu