Inspektor Sheila harap dapat kembali bertugas di Bukit Aman

Sinar Harian
Ogos 7, 2023 14:41 MYT
Sheila atau nama sebenarnya S Sheila Sharon Steven Kumar, 35, berkata, dia mahu berkhidmat untuk masyarakat bagi membanteras kejahatan dan kes jenayah. - Gambar fail
SELAYANG: Inspektor Sheila yang tular di media sosial sebelum didakwa atas tiga tuduhan termasuk mengugut anggota polis, berharap dapat kembali bertugas sebagai pegawai penyiasat di Bukit Aman, Kuala Lumpur.
Sheila atau nama sebenarnya S Sheila Sharon Steven Kumar, 35, berkata, dia mahu berkhidmat untuk masyarakat bagi membanteras kejahatan dan kes jenayah.
“Sebenarnya, saya boleh bekerja dalam bidang lain atau di luar negara mengikut kelayakan, namun saya memilih berkhidmat sebagai polis.
"Jadi kalau diizinkan Tuhan, saya ingin kembali menggalas tanggungjawab berkenaan," katanya ketika ditemui di luar Mahkamah Majistret, di sini pada Isnin selepas prosiding sebutan semula kes mengaibkan dan mengugut yang dikenakan terhadapnya..
Dalam pada itu, penjawat awam itu juga berharap, masyarakat tidak memandang serong selepas videonya di beberapa lokasi, tular di media sosial.
Katanya, orang ramai menilai sikapnya menerusi tayangan video yang singkat dan menganggapnya sebagai seorang wanita yang kurang ajar.
"Sekiranya bertemu di luar waktu bertugas, saya seorang yang ‘happy go lucky’ dan menyeronokkan.
"Saya hanya bertindak tegas jika menyentuh soal kerja kerana perkara itu yang diajar termasuk dalam latihan Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya.
Pada 26 Jun lalu, penjawat awam itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, atas tiga tuduhan mengugut dan mengaibkan kehormatan seorang anggota polis berpangkat lans koperal serta dua orang awam. - Sinar Harian
#Inspektor Sheila #kes mahkamah #video tular #Bukit Aman
;