Inspektor Sheila belum putuskan hantar representasi
Sinar Harian
Disember 18, 2023 13:22 MYT
Disember 18, 2023 13:22 MYT
KUALA LUMPUR: Pembelaan bagi pihak Sheila Sharon Steven Kumar atau lebih dikenali Inspektor Sheila masih mengkaji sama ada akan memfailkan representasi atau sebaliknya.
Peguam, M Manoharan yang mewakili Inspektor Sheila, 35, berkata demikian ketika ditemui media selepas prosiding sebutan kes di depan Majistret Illi Marisqa Khalizan, selesai.
"Kita terima beberapa dokumen daripada pihak pendakwaan dan baki dokumen lagi akan diterima pada sebutan kes seterusnya pada 15 Januari tahun depan.
"Kes yang dihadapi Inspektor Sheila ialah remeh, namun kita masih mengkaji untuk failkan representasi atau tidak kerana dokumen masih tak lengkap," katanya.
Untuk rekod, Sheila mempunyai tiga pertuduhan kes jenayah di Mahkamah Majistret Selayang, yang mana perbicaraan kes itu ditetapkan bermula 5 hingga 7 Februari tahun depan.
Pada 26 Jun lalu, Sheila didakwa mengugut seorang wanita berusia 69 tahun dengan niat untuk mendatangkan kegentaran kepada mangsa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun, atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Dia juga didakwa menghina kesopanan seorang lelaki berusia 41 tahun dengan berkata; ‘You tengok badan you, gemuk, botak dan badak sumbu’ dan menyebut pangkat dengan cara tidak wajar kepada Lans Koperal Abdul Arif Farhan Abdul Razak dengan maksud mengaibkan kehormatannya.
Dua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian