Inspektor polis mengaku tidak bersalah terima rasuah RM1,500

Abd Razak Mohd Ali
Februari 16, 2021 11:49 MYT
Firdaus (muka terlindung) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas tuduhan rasuah RM1,500, tiga tahun lalu. - Astro AWANI
IPOH: Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menerima rasuah wang tunai RM1,500, tiga tahun lalu.
Firdaus Khalid, 37 tahun, inspektor risikan di Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, membuat pengakuan itu selepas tuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim S Indra Nehru.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa menerima suatu suapan berjumlah RM1,000 hingga RM1,500 daripada seorang individu berusia 36 tahun di Bahagian Siasatan Jenayah Balai Polis Kampung Tawas dalam daerah Kinta pada 24 Jun, 2019.
Ia sebagai dorongan untuk tertuduh sebagai pegawai badan awam menyediakan laporan pakar judi yang negatif bersabit satu kertas siasatan.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta yang sama.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM Nurul Wahida Jalaluddin menawarkan jaminan RM20,000 tetapi peguam Mohamad Salihen Mastor yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan antara RM5,000 dan RM8,000.
Rasuah | Pegawai polis tidak mengaku terima rasuah
Menurut Mohamad Salihen, anak guamnya masih bertugas dan memberi kerjasama yang baik sepanjang siasatan selain masih perlu menanggung ibu bapa, isteri yang tidak bekerja serta tiga anak.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Mei depan sebagai sebutan semula kes.
#Ipoh #penjara #siasatan #SPRM #mahkamah #jenayah #Rasuah #polis #inspektor polis #inspektor risikan #ipk perak
;