Inspektor disyaki rogol wanita Mongolia didakwa esok
Bernama
April 28, 2020 23:47 MYT
April 28, 2020 23:47 MYT
Seorang pegawai polis, yang ditahan kerana disyaki merogol dua wanita warga Mongolia, akan didakwa di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007, esok.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata pegawai polis itu akan didakwa di Mahkamah Klang, Selangor mengikut Seksyen 13 (f) Atipsom 2007, dan bagi kesalahan rogol, pihaknya masuk menunggu arahan lanjut.
"Polis telah menerima arahan untuk menuduh suspek di bawah Atipsom. Bagi kertas siasatan di bawah Seksyen 376 atas kesalahan rogol, polis masih menunggu arahan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Pada 15 April, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata polis membuka dua kertas siasatan berhubung dakwaan kes pegawai polis merogol dua wanita warga Mongolia.
Huzir berkata dua kertas siasatan dibuka atas kesalahan rogol serta di bawah Atipsom 2007.
Sebelum ini, Bernama melaporkan seorang anggota polis berpangkat Inspektor ditahan selepas disyaki merogol dua wanita Mongolia di sebuah hotel di Petaling Jaya pada 11 April lepas.
Lelaki berusia 30 tahun itu ditahan selepas polis menyelamatkan mangsa, yang masing-masing berusia 20 dan 37 tahun, di hotel berkenaan.
-- BERNAMA