INSKEN tingkat prestasi perniagaan menerusi program bimbingan - Wan Junaidi
Astro Awani
September 22, 2020 11:05 MYT
September 22, 2020 11:05 MYT
Program pembangunan keusahawanan dilaksanakan Institusi Keusahawanan Negara (INSKEN) berupaya melonjakkan potensi usahawan dalam bidang perniagaan dan pemasaran, seterusnya menjadikan mereka lebih berdaya saing.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, usahawan yang cemerlang dan berdaya saing dapat membuka peluang pekerjaan selain meningkatkan ekonomi masyarakat.
“Program bimbingan perniagaan dan pemantapan dapat meningkatkan potensi keusahawanan peniaga, seterusnya mengubah mentaliti mereka terhadap bidang ini. Mereka juga lebih bersedia untuk berdepan dengan cabaran.
“Usahawan digalakkan mengikuti program bimbingan dan pemantapan perniagaan bagi membolehkan peningkatan hasil jualan mereka,” katanya dalam satu kenyataan sempena Majlis Penyerahan Sijil Peserta Program INSKEN Bussiness Coaching (IBC) dan Business Enhancement Programme (BEP) 2020, di Kota Kinabalu, hari ini.
Majlis turut dihadiri Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Datuk Nordin Salleh dan Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN Muhd Firdaus Azharuddin.
Sementara itu, Muhd Firdaus berkata, INSKEN ketika ini berada di landasan tepat dengan menawarkan pelbagai inisiatif, sekali gus memberi bimbingan kepada usahawan di seluruh negara.
“Hasil penyertaan dalam program bimbingan dan pemantapan ini, 61 peserta dapat meningkatkan hasil jualan sebanyak 20 peratus dalam masa empat bulan.
“Peningkatan itu menunjukkan pencapaian positif dan harap dapat dipertingkatkan lagi,” katanya.
Jelasnya, dengan adanya sesi pementoran dari industri berkaitan, program tersebut lebih khusus dan spesifik, sekali gus dapat membimbing usahawan dengan lebih dekat.
“Program yang diketengahkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini juga membantu usahawan untuk terus berada dalam industri perniagaan yang diusahakan mereka.
“Bagi memastikan usahawan terus menjadi pengerak industri, INSKEN memperkenalkan program bimbingan perniagaan dalam talian menggunakan platform media sosial dan WhatsApp,” katanya.
Ujarnya, INSKEN juga menyediakan 11 program yang membantu usahawan dalam pelbagai industri dan akan terus menambah program yang bersesuaian dengan keperluan usahawan.
Sehingga kini, kata Muhd Firdaus, sekitar 2,000 peserta sudah menyertai program diusahakan INSKEN, khususnya IBC dan BEP.
“Buat masa ini Program IBC di Sabah diadakan khusus untuk usahawan kafe serta restoran dan BEP adalah sesi pemantapan perniagaan disertai usahawan dari industri lain.
“Program memasuki tahun keempat ini berjaya menghimpunkan 46 usahawan Sabah," jelasnya.
Menurutnya, penerima sijil hari ini terdiri daripada 18 usahawan yang tamat menjalani latihan IBC secara komprehensif dan 24 lagi yang berjaya mencipta peluang pekerjaan baru.
#Malaysia
#Medac
#media sosial
#menteri
#operasi
#peniaga
#perintah kawalan pergerakan
#PKP
#SKM
#Suruhanjaya Koperasi Malaysia
#usahawan
#Wan Junaidi Tuanku Jaafar