INSKEN persiap 24 atlet majukan perniagaaan selepas bersara - Noh Omar
Astro Awani
November 2, 2021 12:17 MYT
November 2, 2021 12:17 MYT
KUALA LUMPUR: Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) akan menyalurkan bantuan berbentuk latihan, bimbingan serta dana perniagaan untuk wira dan wirawati sukan negara, menjadikan bidang keusahawanan sebagai sumber pendapatan mereka selepas bersara.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) Tan Sri Noh Omar berkata, terdapat dua kategori atlet negara yang dibantu MEDAC melalui INSKEN, menerusi Program Bimbingan Usahawan Atlet.
Jelasnya, ia terdiri daripada dua kategori iaitu usahawan atlet yang mempunyai idea perniagaan atau perniagaan sedia ada dan usahawan atlet yang tiada idea perniagaan.
"Kategori pertama adalah kumpulan peserta yang sudah mempunyai perniagaan dan memerlukan bimbingan lonjakan perniagaan ke skala seterusnya.
"Manakala kategori kedua pula adalah kumpulan peserta yang ingin menceburi atau memulakan bidang perniagaan berkonsepkan pra-francais," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Noh merasmikan Majlis Penyerahan Bantuan Program Bimbingan Usahawan Atlet yang turut disaksikan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Noh berkata, sebanyak RM71,808 atau 50.4 peratus jumlah peningkatan hasil jualan tercipta daripada 15 atlet negara yang berada di kategori pertama.
"Ini membuktikan bahawa sasaran program ini, iaitu peningkatan minimum 20 peratus hasil jualan, telah tercapai dengan cemerlang.
"Manakala baki sembilan lagi atlet akan memulakan perniagaan berkonsepkan pra-francais," ujarnya.
Sementara itu, 24 atlet negara, termasuk 11 atlet para, mengikuti bimbingan Business Coaches yang berpengalaman luas dalam bidang perniagaan dan keusahawanan.
Ia bagi merangka strategi perniagaan dengan lebih berkesan, berdaya maju dan berkembang ke tahap lebih tinggi.
Setelah mengikuti program enam bulan yang dijalankan, INSKEN menyalurkan dana RM337,155 kepada 24 atlet itu sebagai pemangkin untuk mereka menambah baik atau memulakan perniagaan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN, Muhd Firdaus Azharuddin berkata, program itu merupakan kerjasama rentas kementerian antara MEDAC dan Kementerian Belia dan Sukan.
Ia dikendalikan agensinya, Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) dan Majlis Sukan Negara melalui Sekretariat Kerjaya dan Pendidikan Atlet (MACE).
Tambahnya, INSKEN sedia membantu lebih banyak golongan masyarakat tidak kira latar belakang dan mengalu-alukan lebih banyak kolaborasi bersama kementerian mahu pun agensi lain.
Atlet silat negara Mohd Fauzi Khalid merupakan antara peserta program ini yang berjaya meningkatkan 126 peratus hasil jualan.
Beliau yang menjalankan perniagaan makanan tambahan Minyak Kelapa Dara mengakui, program ini membantunya memantapkan teknik promosi produk serta memperkemas strategi perniagaan.
"Melihat kepada peningkatan yang cemerlang ini, INSKEN seterusnya menyerahkan dana berjumlah RM15,000 bagi membantu Mohd Fauzi memajukan perniagaan," kata Muhd Firdaus.
Program itu turut disertai atlet negara seperti Alia Sazana Azahari (atlet menembak), Mohammad Aliff Mohamad Alwi (atlet para olahraga), Ariffahmi Zaquan Ariffin (atlet para tenis) dan Leong Mun Yee (atlet terjun).
Atlet-atlet yang menyertai program ini mempunyai perniagaan dalam pelbagai industri seperti makanan dan minuman, kosmetik dan kesihatan.