INSKEN perkenal lima industri baharu pada 2021
Astro Awani
Februari 9, 2021 12:50 MYT
Februari 9, 2021 12:50 MYT
KUALA LUMPUR: Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) akan menawarkan lima industri baharu melalui program INSKEN Bumiputera Business Coaching (IBBC) pada 2021.
Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN, Muhd Firdaus Azharuddin berkata, ia merupakan penjagaan warga emas, sukan dan aktiviti lasak, pusat tuisyen, tadika serta khidmat pengasuh.
Jelasnya, agensi itu akan memberi penekanan terhadap modul pembangunan produk sebagai salah satu aspek untuk dipertingkatkan pada tahun ini.
Ujarnya, INSKEN juga sentiasa melakukan padanan dengan agensi perbankan untuk bantuan kewangan.
"Antara topik yang kita sentuh pada sesi Facebook live adalah bagaimana usahawan boleh mendapatkan bantuan, jadi sesi ini ada bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), kita ada sesi bersama Tekun Nasional, bersama Bank Simpanan Nasional (BSN).
"Kita bawa institusi-institusi ini masuk ke dalam sesi Facebook live bersama usahawan dan mereka boleh bertanya terus secara langsung apa masalah yang mereka lalui sewaktu hendak mendapatkan bantuan.
"Dalam eBiz Klinik, kita melihat usahawan keperluan untuk mendapatkan kewangan, kita akan salurkan kepada agensi tertentu untuk mendapatkan bantuan," katanya semasa sidang media secara Zoom pada Selasa.
Dalam pada itu kata Muhd Firdaus, pihaknya menyasarkan 336 program latihan dan bimbingan yang akan diadakan sepanjang tahun.
Selain itu jelasnya, lebih 15,000 peserta disasarkan untuk menyertai program latihan dan bimbingan mereka.
Dari jumlah keseluruhan itu, INSKEN menyasarkan lebih 6,000 usahawan akan menyertai program
bimbingan dan lebih 9,000 usahawan yang bakal menyertai program latihan.
Sepanjang 2020, INSKEN telah melatih 78,872 usahawan melalui 390 program latihan sekali gus melebihi sasaran tahunan.
Program bimbingan anjuran INSKEN juga telah mencatatkan lonjakan hasil jualan keseluruhan sebanyak RM14.9 juta serta mencipta 452 pekerjaan baharu.
Dalam pada itu, INSKEN turut tampil dengan inisiatif baharu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan melalui program INSKEN BizLive pada tahun lepas.
Sehingga akhir tahun 2020, sebanyak 151 sesi telah diadakan yang memfokuskan kepada topik berkaitan pengalaman, kepakaran serta tip untuk usahawan bangkit semula selepas pandemik COVID-19.
INSKEN BizLive juga telah mendapat pengiktirafan Anugerah Perak Kategori Bimbingan Secara Atas Talian dari Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) yang diumumkan di Majlis Amanat
MEDAC 2021 baru-baru ini.
Sehingga hari ini, INSKEN masih menghulurkan bantuan menerusi program latihan, bimbingan serta konsultasi secara dalam talian kepada semua kategori usahawan dari sekecil-kecil penjaja sehingga ke syarikat gergasi sekali gus meneruskan inisiatif khidmat nasihat secara dalam talian oleh BisKaunselor melalui program e-Biz Klinik.