Insinerator akan dibina di Kepong
Tunku Nashrul Tunku Abaidah
Jun 18, 2013 12:33 MYT
Jun 18, 2013 12:33 MYT
Sebuah lagi insinerator akan dibina bagi menampung jumlah kapasiti pepejal yang semakin bertambah di negara ini.
Ia akan dibina bersebelahan stesen pemindahan sisa pepejal di Taman Beringin, Kepong.
Menteri Kesejahteraan Bandar Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, antara lain insenerator ini dapat membantu kerja-kerja pembersihan syarikat Alam Flora Sendirian Berhad di sekitar Kuala Lumpur.
"Buat masa ini memang tidak mencukupi, kita sedang membuat perancangan untuk membina satu insinerator yang akan dibuat di sebelah kawasan stesen ini dan ini adalah insinerator yang mempunyai teknologi terkini dan tinggi.
“Kita akan gunakan sistem tender antarabangsa untuk syarikat terbaik seluruh dunia untuk membina insnerator ini dan dengan adanya incinerator ini, masalah dapat dikurangkan," kata beliau.
Ketika ini stesen itu hanya mampu menampung sebanyak 1700 tan sisa pepejal.
Disebabkan pertambahan jumlah sisa pepejal ia terpaksa menerima sebanyak 2400 tan sehari sekali gus melebihi jumlah ditetapkan di stesen itu.
Sementara itu jelasnya kerajaan sentiasa komited dalam menangani masalah sisa pepejal dan pembersihan awam.
Antaranya dengan meneruskan usaha penswastaan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan kepada syarikat konsesi.
Selain itu kementeriaan juga akan mempergiatkan usaha melaksanakan akta pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam 2007.
Selain penguatkuasaan undang-undang, kerajaan juga sedang melihat peluang yang ada bagi meluaskan kerjasama dengan pihak pemaju supaya mengambil pendekatan membina sistem pembuangan sisa pepejal yang lebih baik dan kemudahan kitar semula di kawasan perumahan.
Rahman sebelum itu membuat tinjauan kerja-kerja kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam oleh Alam Flora di Kuala Lumpur.