Insiden 'Yes-No': Yen Yen tidak tersinggung
Teoh El Sen
Februari 27, 2013 22:53 MYT
Februari 27, 2013 22:53 MYT
Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen hari ini telah menepis insiden di mana orang ramai menjerit "no" semasa beliau berada di atas pentas pada acara Tahun Baru Cina di Melaka sebagai benda kecil.
Naib Presiden MCA itu berkata beliau tidak tersinggung dengan perkara itu dan sebenarnya "sangat gembira" pada malam Ahad itu.
"Ini tidak memberi kesan kepada saya langsung. Saya rasa seperti biasa," kata Ng.
"Semua orang telah memperbesarkan benda yang kecil," kata Ng, yang telah ditemui pemberita sejurus selepas acara di Sunway Pyramid.
Ng berkata kumpulan yang seolah-olah hendak memalukan beliau adalah kumpulan yang sangat kecil.
"Mereka sangat pandai. Jika 10 orang (daripada 10,000) mengatakan “no”, tidak banyak kesan pun. Mereka merupakan satu kumpulan kecil yang duduk di kedai kopi sahaja," katanya.
Ditanya sama ada kejadian itu mencerminkan sentimen pengundi, Ng berbalas: "Terdapat 10,000 orang di sana, saya tidak menjangka semua akan menyokong BN. Kita adalah sebuah negara demokratik yang terbuka, anda boleh menyuarakan pendapat sendiri."
"Saya tidak naif untuk mengharapkan 10,000 orang akan mengatakan ‘yes’," katanya.
Sementara itu, ketika ditanya samada beliau yakin akan mengekalkan kerusi parlimen Raub jika dicalonkan, Ng hanya tersenyum lebar.
Pada Ahad lalu, Ng terpaksa berdepan dengan sekumpulan individu yang degil di sambutan Chap Goh Meh negeri Melaka yang diadakan di Jonker Walk.
Pertengkaran ‘Ya-Tidak’ itu berlaku semasa beliau mengajak orang ramai menjerit "Yes!Yes!Yes" namun, ia dibalas dengan "No!No!No!" .
Video tersebut mengimbas respon orang ramai terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa persembahan artis Korea, Psy pada rumah terbuka MCA di Pulau Pinang.