Insiden tikam pesakit: Suspek dipercayai mengamuk sebelum dibawa ke hospital

Fareez Azman
Februari 20, 2023 20:37 MYT
S Sasikala berkata, suspek dipercayai datang dari Lahad Datu, Sabah sebelum ke rumah kakanya di ibu negara. - Foto Astro AWANI
SHAH ALAM: Lelaki yang menikam pesakit di Jabatan Kecemasan, Hospital Selayang di Selangor pada Selasa lalu, dipercayai mengamuk di rumah kakaknya sebelum dibawa ke hospital.
Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi berkata, suspek dipercayai datang dari Lahad Datu, Sabah sebelum ke rumah kakaknya di ibu negara.
Siasatan mendapati suspek bertindak agresif di rumah kakaknya itu dan selepas ditenangkan dan kemudian dibawa ke Hospital Selayang menaiki kenderaan bersama ahli keluarganya kira-kira jam 1.25 pagi.
"Maklumat yang kita terima daripada waris suspek ini bahawa dia ini sebenarnya datang dari Lahad Datu ke rumah kakaknya di Kuala Lumpur dan telah bertindak secara agresif dan bila mereka tidak dapat mengawal suspek.
"Mereka telah meminta bantuan untuk dibawa (suspek) ke hospital berdekatan, kita hanya mengiringi dengan menaiki motosikal dan dibawa ke hospital,"katanya.
Tambah Sasikala lagi, anggota polis mengiring suspek menaiki dua motosikal Unit Rondaan Bermotosikal (URB) pada pagi, manakala kejadian berlaku pada waktu tengahari.
Jelasnya, ketika ini pihak hospital telah memaklumkan suspek dalam keadaan tidak sesuai untuk ditemu bual.
Polis juga jelasnya ujarnya, masih menunggu laporan psikiatri suspek dari pihak hospital bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Pada Selasa, seorang lelaki bertindak menikam seorang individu dalam kejadian kira-kira jam 3.45 petang di Jabatan Kecemasan, Hospital Selayang.
Akibat serangan tersebut, mangsa yang merupakan pesakit demam denggi berusia 29 tahun itu mengalami kecederaan pada abdomen kiri dan kanan badan serta pada bahagian belakang badan.
#PDRM #ditikam di Jabatan Kecemasan Hospital Selayang #S Sasikala Dewi #lelaki terima rawatan psikiatri
;