Insiden tembakan TUDM: Hasrat Mohd Ehsan buka bengkel motosikal tidak kesampaian - Kakak mangsa

Munirah Mudzamli
Ogos 13, 2021 09:28 MYT
Allahyarham Mohd Ehsan (dua dari kiri) merupakan anak keenam daripada 10 adik beradik dan baru sahaja memulakan tugas selepas bercuti untuk membantu keluarganya berniaga durian di Asajaya. - Foto: Hanisah Sehamat
KUCHING: "Dia seorang yang peramah dan periang dalam keluarga. Kami sering berhubung dan dia juga berhasrat membuka bengkel motosikal di Kota Samarahan, malah dia turut mengajak saya untuk bersama-sama membuka kedai."
Demikian perkongsian Hanisah Sehamat mengenai hasrat arwah adiknya, Koperal Udara Mohd Ehsan Sehamat, yang mahu membuka sebuah bengkel dan mengajak Hasinah pulang ke Samarahan dan mengusahakan bengkel itu bersama-sama.
Semua hasrat Allahyarham itu dikongsikan Hanisah ketika dihubungi AWANI Borneo pada Jumaat.
Menceritakan lebih lanjut, Hanisah yang kini bekerja di Kuala Lumpur terkejut dengan berita kehilangan adik tersayang.
Sambil menyifatkan Allahyarham seorang yang ceria sepanjang hayatnya, sudah pasti telatah Mohd Ehsan yang sering menyerikan keluarga sentiasa dirindui.
"Semasa kejadian itu, adik saya berkongsi berita mengenai insiden di kem tersebut, malah pihak wartawan juga kelihatan berada di luar kawasan kem dan tidak dibenarkan masuk kerana ia ditutup.
"Jadi saya berasa hairan, biasanya Ehsan akan berkongsi mesej dalam kumpulan WhatsApp keluarga memaklumkan sebarang maklumat mengenai kejadian, dan saya cuba menghubungi abang saya, biasanya dia akan lebih rancak berkongsi mengenainya kerana lokasi itu merupakan tempat dia bekerja.
"Selepas itu, abang saya menerima berita itu dan berkongsi mengenai kes tersebut daripada pihak polis. Saya terkejut nama adik saya (Ehsan) antara yang tersenarai dalam mangsa insiden berkenaan,’’ katanya.
BACA: 4 anggota TUDM maut dalam insiden tembakan kem Kota Samarahan
BACA: Insiden tembakan di kem TUDM: Suspek tembak tiga rakan ketika masa serah tugas - Polis
Katanya lagi, arwah merupakan seorang yang sangat peramah dan sangat rapat dengan keluarganya.
Kali terakhir dia berjumpa dengan arwah Mohd Ehsan pada Ogos tahun lalu susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
BACA: Insiden tembakan kem TUDM: Jenazah dua anggota TUDM tiba di rumah mayat HUS
BACA: Insiden tembakan kem TUDM: 'Nak hidup atau mati' - Suspek
Allahyarham merupakan anak keenam daripada 10 adik beradik dan baru sahaja memulakan tugas selepas bercuti untuk membantu keluarganya berniaga durian di Asajaya.
Mohd Ehsan terlibat dalam insiden tembakan melibatkan empat anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Kem Skuadron 330 TUDM di Kota Samarahan pada Jumaat.
#TUDM Kota Samarahan #insiden tembakan #empat anggota terkorban #Mohd Ehsan Sehamat #Tentera Udara Diraja Malaysia #Kem Skuadron 330 TUDM