Insiden tembakan: Siasatan menjurus kepada kes lebih serius - Saifuddin

Nursyazwani Saiful Sham
Februari 3, 2025 13:40 MYT
Siasatan awal polis menunjukkan keadaan corak atau situasi yang serupa berdasarkan kes-kes penyeludupan sebelum ini. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR : Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak menolak kemungkinan insiden tembakan membabitkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dengan warga Indonesia di perairan Tanjung Rhu, dekat Banting, Selangor pada 24 Januari lalu melibatkan kegiatan penyeludupan dadah dan senjata.
Menurut Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, siasatan awal menunjukkan keadaan corak atau situasi yang serupa berdasarkan kes-kes penyeludupan sebelum ini.
"Siasatan yang dibuat ketika ini oleh pihak polis adalah di bawah Seksyen 207 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh. Yang kedua Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960 yang mana memiliki senjata... dan tidak boleh melepaskan tembakan.
"Siasatan juga dijalankan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 26 (A) Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
"Tetapi siasatan ini masih awal, dan pihak kami tidak menolak kemungkinan semakin kita soal siasat mereka yang ditangkap atau yang cedera yang ditahan ketika ini... kita tidak menolak kemungkinan berdasarkan "pattern" atau situasi yang serupa... boleh membawa kepada (aktiviti) berkait penyeludupan dadah, senjata," katanya pada sidang media di Parlimen pada Isnin.
Pada masa sama, Saifuddin memaklumkan, oleh kerana insiden tersebut melibatkan warga Indonesia, pihak kedutaan republik itu menghubungi kerajaan untuk mendapatkan akses berhubung dengan mereka yang disiasat.
Ujarnya kerajaan telah membenarkan mereka mengadakan pertemuan di hospital semasa dirawat kerana mereka berada di bawah tahanan reman untuk tujuan siasatan.
#APMM #Saifuddin Nasution #kes tembakan #warga Indonesia #terkini
;