Insiden tembakan KLIA: Anak-anak tidak sabar jumpa bapa - Isteri

Bernama
April 22, 2024 13:48 MYT
Insiden pada 14 April itu, menyaksikan seorang lelaki melepaskan dua das tembakan dan satu daripadanya telah terkena mangsa yang juga pengawal peribadi isteri suspek. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Dua anak kepada pengawal peribadi yang cedera parah akibat terkena tembakan ketika melindungi majikannya, dalam insiden di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 Ahad lepas, sudah tidak sabar untuk bertemu bapa mereka selepas dimaklumkan mengenai perkembangan positif oleh ibu mereka.
Berkongsi reaksi itu, isteri Muhammmad Nur Hadith Zaini, 38, iaitu Siti Noraida Hassan, 38, berkata ketika ini dua daripada tiga anak mereka hanya dapat berhubung dengan bapa mereka melalui panggilan video.
"Anak-anak gembira dan sedih. Mereka nak jumpa papa mereka, tetapi saya belum bawa lagi. Hanya berhubung melalui panggilan video sahaja buat masa ini.
"Mungkin lepas papa mereka ditukar ke wad biasa, baru saya bawa (anak-anak) (untuk berjumpa)," katanya yang dikurniakan tiga anak berusia antara tiga, 10 dan 13 tahun, hasil perkahwinan dengan Muhammmad Nur Hadith.
Siti Noraida berkata beliau dan beberapa waris terdekat, dibenarkan melawat sejak suaminya yang lebih dikenali sebagai Along dimasukkan ke Hospital Cyberjaya untuk menerima rawatan.
"Saya dan waris terdekat memang boleh melawat sejak hari pertama lagi, cuma anak-anak sahaja tidak dibenarkan," katanya.
Semalam dilaporkan, pihak hospital telah menghentikan pemakaian alat bantuan pernafasan apabila Muhammmad Nur Hadith sudah mula sedar dan semakin pulih.
Isterinya turut dilaporkan berkata suaminya sudah boleh bercakap sedikit dan bertanyakan mengenai keluarga serta anak-anak, walaupun masih dalam keadaan lemah.
Insiden pada kira-kira 1.30 pagi 14 April itu, menyaksikan seorang lelaki melepaskan dua das tembakan dan satu daripadanya telah terkena mangsa yang juga pengawal peribadi isteri suspek.
Suspek, 38, yang melarikan diri selepas kejadian, kemudian ditahan polis di Kota Bharu, Kelantan pada 15 April.
Mahkamah Majistret Kota Bharu sebelum ini membenarkan permohonan polis untuk reman lelaki itu selama tujuh hari dari 16 hingga 22 April dan disambung lima hari lagi sehingga 27 April, bagi membantu siasatan kes itu mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Sekyen 8 Akta Senjata 1960.
-- BERNAMA
#tembakan KLIA #pengawal peribadi #Muhammmad Nur Hadith Zaini #cedera parah #telah sedar
;