Insiden tembakan kem TUDM: 'Nak hidup atau mati' - Suspek

Shafik Ahmad
Ogos 13, 2021 15:01 MYT
Menurut sumber, suspek berpangkat koperal itu masuk lalu mengambil selaras senjata jenis Colt M4 Carbine sebelum mengacukan kepada salah seorang anggota yang sedang bertugas.
KOTA SAMARAHAN: ‘Nak hidup atau mati’. Demikian ungkapan terakhir anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang juga suspek sebelum menembak mati tiga rakannya dalam kejadian di Kem Skuadron 330 TUDM di sini pada awal pagi Jumaat.
Dalam kejadian sekitar jam 7.15 pagi itu, suspek yang berasal di Lundu, Sarawak itu datang ke Balai Pengawal Handau dengan menaiki motosikal.
Menurut sumber, suspek berpangkat koperal itu masuk lalu mengambil selaras senjata jenis Colt M4 Carbine sebelum mengacukan kepada salah seorang anggota yang sedang bertugas.
“Ketika kejadian, lima anggota berada di dalam balai pengawal tersebut termasuk tiga koperal dan dua laskar udara.
BACA: Insiden tembakan kem TUDM: Jenazah dua anggota TUDM tiba di rumah mayat HUS
"Melihat tindakan suspek yang mencurigakan, salah seorang anggota menegur suspek namun dia bertanya nak hidup atau mati sebelum seorang lagi cuba menenangkannya,” kata sumber.
Namun teguran itu, bertukar tragedi apabila suspek bertindak menembak ke arah perut mangsa.
Terkejut dengan insiden berkenaan, anggota lain cuba menyelamatkan diri dengan keluar dari balai tersebut namun suspek terus melepaskan tembakan ke arah dua lagi mangsa.
“Kedua-dua mangsa mati di tempat kejadian dipercayai akibat kecederaan pada bahagian belakang dan dada. Manakala seorang lagi cedera di perut dan disahkan meninggal dunia di Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak di Kota Samarahan.
"Sementara Suspek dilaporkan mati selepas menembak dirinya sendiri,” kata sumber.
Menurut sumber, suspek sebelum ini bertugas di Pangkalan Udara Kuantan Pahang, sebelum kembali bertugas di Sarawak.
BACA: 4 anggota TUDM maut dalam insiden tembakan kem Kota Samarahan
BACA: Insiden tembakan di kem TUDM: Suspek tembak tiga rakan ketika masa serah tugas - Polis
Difahamkan, suspek juga sedang menjalani kuarantin COVID-19 dan siasatan awal mendapati suspek tidak mempunyai masalah dengan rakan setugas.
Antara mangsa yang terkorban dikenal pasti sebagai Koperal Udara Mohammad Ehsan Sehamat, 26, Koperal Udara Nesly Nabau, 27, Koperal Udara Sharif Mohd Siddiq Al-Attas Wan Sabli, 29, dan Koperal Udara Ho Sweet Boon.
Kesemua mayat mangsa dihantar ke rumah mayat Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk tindakan lanjut.
#TUDM #tembakan #tembak rakan #tembak diri sendiri #Kota Samarahan
;