Insiden tembak Penampang: Musa Aman minta rakyat tidak panik
Bernama
November 1, 2014 10:55 MYT
November 1, 2014 10:55 MYT
Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman meminta rakyat agar tidak panik dengan insiden tembakan di Penampang Baru petang Khamis yang menyebabkan dua lelaki disyaki penjenayah mati.
"Keadaan keselamatan di Sabah adalah selamat dan terkawal," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra dengan pelajar Universiti Malaysia Sabah di sini pada Jumaat.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman dalam sidang akhbar pada Jumaat berkata dua lelaki yang ditembak mati pihak polis itu masing-masing berumur 50 dan 45 tahun dipercayai warga negara Filipina yang sedang diburu.
Mereka dipercayai terlibat dengan tiga kejadian rompakan bersenjata pada bulan ini di Tuaran, Penampang dan Kota Kinabalu.
Musa mengajak rakyat untuk bersama-sama memberi sokongan dan kerjasama kepada anggota keselamatan termasuk memberi maklumat kepada pihak berkuasa bagi membolehkan tindakan segera dapat diambil berhubung kes itu.