Insiden tembak KLIA: Pengawal peribadi selesai jalani pembedahan, mungkin perlu dialisis sementara
Umavathi Ramayah
April 16, 2024 19:43 MYT
April 16, 2024 19:43 MYT
KUALA LUMPUR: Pengawal peribadi yang cedera ditembak dalam kejadian di Lapangan Terbang Antrabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Muhammad Nur Hadith Zaini selesai menjalani pembedahan usus jam 4.30 petang di Hospital Cyberjaya, di sini pada Selasa.
Isteri mangsa, Siti Noraida Hassan memberitahu, suaminya kini diletakkan di bawah pemantauan rapi doktor antara lima dan enam hari bagi memastikan keadaannya lebih baik dan menunjukkan perkembangan positif.
Bagaimanapun, kata Siti Noraida, doktor memaklumkan suaminya mungkin perlu menjalani rawatan dialisis sementara.
"Limpa suami saya juga cedera, doakan sembuh segera," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini, pada Selasa.
Siti Noraida, yang merupakan ibu kepada tiga anak itu memberitahu, keadaan Muhammad Nur ketika ini stabil.
Terdahulu, Siti Noraida dalam satu kemas kini di laman Facebook peribadinya, memohon agar rakyat Malaysia mendoakan kesejahteraan dan keselamatan suaminya.
Dalam kejadian jam 1.20 pagi Ahad lalu, seorang lelaki melepaskan dua das tembakan dengan satu daripadanya terkena mangsa.
Wanita yang menjadi sasaran dalam insiden itu terselamat dan pihak polis memaklumkan kejadian bermotifkan perihal peribadi antara suspek dan isterinya.