Insiden Tanjung Balau: Operasi SAR diperluas kepada radius 7km - Maritim

Bernama
Disember 15, 2021 04:20 MYT
Operasi SAR mangsa bot karam yang dipercayai masih hilang di perairan Tanjung Balau diteruskan malam tadi. -Gambar fail/Maritim
KOTA TINGGI: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa bot karam yang dipercayai masih hilang di perairan Tanjung Balau awal pagi semalam, di sini, diteruskan pada malam tadi.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Johor Kepten Maritim Simon Templer Lo Tusa berkata SAR yang dilaksanakan di pesisir pantai berkenaan, diperluaskan kepada radius tujuh kilometer bersama pasukan Sahabat (pasukan sukarelawan APMM) melibatkan seramai 10 anggota.
BACA: 10 PATI maut, 29 hilang dalam tragedi bot karam di Tanjung Balau
Bot Karam | 21 pendatang tanpa izin selamat, 10 maut, 29 hilang
Beliau berkata pencarian di laut dilakukan KM Tegas (aset APMM), namun tiada sebarang penemuan setakat ini.
"Selain itu, pesawat udara APMM telah melakukan pencarian di sektor pencarian dan selesai pada jam 5 petang, namun tiada sebarang penemuan mangsa dilaporkan.
"Jumlah keluasan pencarian aset laut hari ini adalah seluas 61.88 batu nautika, manakala keluasan bagi pencarian aset udara adalah 121.92 batu nautika," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.
Dalam pada itu beliau berkata kesemua 14 mangsa yang terselamat masih ditahan di Pos Tanjung Sepang bagi urusan saringan COVID-19 yang belum selesai.
Terdahulu semasa sidang media Simon berkata polis dan Konsulat Indonesia akan turut bekerjasama untuk mengenal pasti dalang sindiket yang terlibat dalam insiden itu.
Ketika ditanya jika pendatang tanpa izin itu membuat sebarang bayaran untuk memasuki negara ini, beliau enggan mengulas lanjut.
"Untuk kes ini siasatan belum dimulakan sebab keadaan mangsa masih trauma dan kita tidak mahu beri tekanan, tetapi berdasarkan daripada kes-kes sebelum ini, saya difahamkan pendatang tanpa izin yang memasuki negara ini daripada Batam sahaja membayar (kepada sindiket) kira-kira RM2,000 sehingga RM3,000 seorang," katanya.
Sementara itu, Ketua Zon II Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor Al Hasra Mohamad berkata kerja menyelamat dihentikan pada 7 petang tadi dan akan disambung selewat-lewatnya pada 12 tengah malam nanti.
Beliau berkata operasi dijalankan secara berkala dan pencarian mangsa yang hilang dilakukan dalam radius kira-kira tiga hingga lima kilometer dari lokasi kejadian.
"Pada malam ini, seramai enam anggota bomba ditugaskan untuk SAR. Pencarian dilakukan dengan berjalan kaki dan menggunakan kenderaan pacuan empat roda selain menggunakan bot untuk kerja menyelamat," katanya ketika ditemui Bernama.
-- BERNAMA
#APMM #tanjung balau #bot karam #pendatang tanpa izin
;