Insiden tanah runtuh Tanjung Bungah 2017 boleh dielakkan - Suruhanjaya Siasatan
Bernama
Ogos 28, 2019 05:44 MYT
Ogos 28, 2019 05:44 MYT
Hasil laporan Suruhanjaya Siasatan berhubung kejadian tanah runtuh di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah dua tahun lepas menunjukkan bahawa runtuhan cerun itu berpunca daripada tragedi buatan manusia, yang keseluruhannya boleh dielakkan.
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow semasa membentangkan laporan suruhanjaya berkenaan pada Rabu berkata tanah runtuh yang berlaku pada 21 Okt 2017 itu adalah bencana yang sedang menunggu masa untuk berlaku.
"Antara kesimpulan yang dirumuskan laporan itu adalah kegagalan cerun itu disebabkan beberapa siri perbuatan yang melampau. Dalam terma kejuruteraan, kejadian berlaku disebabkan perbuatan tanpa kawalan yang menjejaskan ketahanan tanah di kawasan itu.
"Kejadian tanah runtuh itu bukan berlaku secara tiba-tiba. Ia berlaku secara beransur dengan tanda-tanda amaran jelas terlihat pada alam sekitar. Malangnya tanda-tanda amaran itu sama ada tidak dipedulikan, atau tidak ditangani dengan baik dan tidak mencukupi," katanya dalam persidangan media di sini pada Rabu.
Insiden pada kira-kira pukul 8.57 pagi itu meragut 11 nyawa yang terdiri daripada seorang penduduk tempatan, lima warga Bangladesh, dua warga Indonesia, dua warga Myanmar dan seorang warga Pakistan.
Chow berkata laporan suruhanjaya yang bertarikh 22 Julai yang dihantar kepada Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas, memuatkan analisis selanjutkan berhubung fakta latar belakang, keterangan yang direkodkan dari pendengaran awam dan sebagainya.
Beliau berkata laporan setebal 116 muka surat itu turut mengandungi sembilan cadangan yang diharapkan oleh pihak suruhanjaya boleh menjadi pengajaran.
"Antaranya pihak suruhanjaya mencadangkan siasatan jenayah dijalankan oleh polis (atas arahan Peguam Negara, jika perlu), terhadap kecuaian ketara jurutera perunding yang mengakibatkan tragedi itu, bagi mengenal pasti sekiranya jurutera perunding itu seharusnya didakwa di bawah Sekasyen 304A Kanun Keseksaan," katanya.
Chow berkata salinan laporan itu akan dijual kepada orang ramai pada harga RM50 sesalinan, dan ia boleh didapati di Tingkat 3, Komtar dari 3 Sept sehingga 30 Sept.
Untuk maklumat lanjut orang ramai boleh menelefon 04-650 5480.
"Bagi pihak kerajaan negeri Pulau Pinang, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan takziah kepada anggota keluarga mereka yang terkorban dalam kejadian itu, dan diharapkan laporan ini akan membantu," katanya.
Suruhanjaya yang digerakkan oleh Notifikasi Warta bertarikh 21 Disember 2017 itu mendengar keterangan daripada 28 saksi dalam sesi pendengaran awam yang berlangsung selama 26 hari.
-- BERNAMA
#Chow Kon Yeow
#jurutera perunding
#kecuaian
#Ketua Menteri
#laporan
#Lengkok Lembah Permai
#Peguam Negara
#pendengaran awam
#pulau pinang
#siasatan
#suruhanjaya siasatan
#tanah runtuh
#Tanjung Bungah
#tragedi