Insiden SUKE: Lebih 24 jam, mangsa ketiga masih belum diturunkan

Ridauddin Daud
Mac 23, 2021 10:57 MYT
Setakat jam 11.00 pagi, sekurang-kurangnya dua buah jentera membawa kren dilihat memasuki tapak pembinaan tersebut. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Selepas lebih 24 jam, mangsa ketiga yang tersepit dalam insiden kren gantri runtuh di tapak pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) masih belum dapat diturunkan.
Tinjauan Astro AWANI di lokasi kejadian berhampiran Persiaran Banyan, Jalan Alam Damai mendapati, usaha untuk menurunkan mayat mangsa giat berjalan seawal jam 8.00 pagi tadi.
Menurut sumber, petugas kini sedang melakukan kerja-kerja kejuruteraan dan kimpalan di kawasan berkenaan.
"Sekiranya semua selesai pada pagi ini, mungkin kita dapat mulakan usaha menurunkan mayat mangsa dalam tengah hari nanti," katanya kepada Astro AWANI.
Setakat jam 11.00 pagi, sekurang-kurangnya dua buah jentera membawa kren dilihat memasuki tapak pembinaan tersebut dan beberapa lori juga dilihat berada di sana.
Anggota polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga dilihat berada di lokasi seawal jam 6.30 pagi tadi.
Astro AWANI pada Selasa melaporkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengenal pasti tiga identiti mangsa yang maut dalam insiden komponen kren gantri terjatuh di tapak pembinaan tersebut.
BACA: Insiden kren SUKE: Identiti tiga mangsa maut dikenal pasti
Pengarah JBPM Kuala Lumpur Nordin Pauzi berkata, tiga pekerja projek pembinaan tersebut yang berasal dari China dikenali sebagai Ding Kunfu, Jiang Jinboa dan Mu Tong Zheng.
"Mayat Ding dan Jiang berjaya dikeluarkan pihak bomba pada 11.30 pagi (Isnin) dan diserahkan kepada polis untuk tindakan susulan.
"Kerja mengeluarkan mayat Mu yang terhimpit di antara struktur besi masih dijalankan,” katanya.
Kren Jatuh di SUKE | Susulan insiden kren jatuh di projek binaan SUKE
#suke #kren gantri runtuh #pembinaan #mayat #tersepit #kimpalan
;