Insiden 'skybridge' runtuh adalah palsu - Prasarana

Astro Awani
September 3, 2015 13:32 MYT
Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah Honda Civic yang dipandu laju terbabas ke laluan bertentangan lalu melanggar sebuah van di lorong kanan. - Gambar Fail
Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menafikan insiden laluan 'skybridge' LRT runtuh yang dikatakan menjadi punca kemalangan di susur jalan berhampiran pusat beli-belah Sogo pada pagi ini.
Khabar angin tersebar mengenai 'insiden' ini tersebar melalui aplikasi WhatsApp pada awal Khamis.
Menurut jurucakap syarikat, pengguna media sosial diharap tidak menghebahkan berita tanpa memastikan kesahihan fakta.
Sementara itu, Ketua Trafik Kuala Lumpur ACP Mohd Nadzri Hussain mengesahkan satu kemalangan berlaku di Jalan Kuching menghala ke pusat bandar sekitar jam 8.30 pagi.
Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah Honda Civic yang dipandu laju terbabas ke laluan bertentangan lalu melanggar sebuah van di lorong kanan.
Akibat impak kemalangan, van terpusing dan dilanggar 3 buah motosikal yang gagal mengelak kenderaan itu.
Van tersebut mengalami kebakaran kecil namun api berjaya dipadamkan pasukan bomba dan penyelamat.
"Buat masa ini, hanya tiga mangsa ditemui dirawat di Hospital Kuala Lumpur manakala dua lagi tidak dapat dikesan," katanya melalui aplikasi WhatsApp kepada Astro AWANI pada Khamis.
Ketiga-tiga mangsa kemalangan dilaporkan mengalami kecederaan dan sedang menerima rawatan.
#Prasarana Malaysia Berhad #skybridge #WhatsApp
;