Insiden serangan: Polis siasat sama ada tindakan rambang, terancang - Saifuddin

Sinar Harian
Mei 20, 2024 13:25 MYT
Saifuddin Nasution berkata, kementerian serta polis memandang serius dan menyiasat ancaman tersebut dengan teliti. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Siasatan polis terhadap beberapa insiden yang mengancam institusi penting negara menjurus ke arah untuk menentukan sama ada ia merupakan tindakan rambang atau terancang secara individu mahupun berkumpulan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kementerian dan polis memandang serius dan segera menyiasat serangan terhadap dua balai polis, Istana Negara dan ugutan bunuh diterima oleh Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.
"Kita pandang serius dan siasatan akan menjurus untuk menentukan plot, tujuan serta motif kumpulan individu ini," katanya menerusi sidang akhbar selepas pelancaran Garis Panduan Penapisan Filem (GPPF) baharu, di sini pada Isnin.
Beliau berkata, pihaknya tidak menolak kesemua kes yang berlaku dalam tempoh beberapa hari itu mungkin menimbulkan kebimbangan serta keresahan masyarakat.
"Sebab itu kita gesa supaya orang ramai tidak membesar besarkan isu ini terutama melalui media sosial," ujarnya.
Jelas Saifuddin, polis memantau mana-mana pihak yang menyebarkan spekulasi, memberikan pendapat tidak berasas sehingga mengganggu proses siasatan.
"Kita memandang serius elemen penyalahgunaan media sosial dalam perkara ini.
"Kami juga tidak akan teragak agak untuk mengambil tindakan iaitu saya ingin ulangi bahawa serangan ancaman ini diambil serius," tegasnya.
Jumaat lalu, individu bertindak menyerang Balai Polis Ulu Tiram, Johor sehingga mengakibatkan dua anggota maut.
Sementara, pada jam 4 petang hari sama, polis menahan dua individu bersenjatakan parang menceroboh masuk Istana Negara.
Sehari selepas itu, Teresa mendedahkan beliau menerima kertas ugutan bunuh bersaiz A4 bersama dua peluru yang diletakkan dalam peti surat di kediamannya.
Pada jam 4.45 pagi Ahad, polis memberkas seorang lelaki dipercayai cuba menyerang seorang anggota di Balai Polis Dato Keramat, George Town, Pulau Pinang.
Sebaik memasuki pekarangan balai polis, suspek berusia 35 tahun itu cuba merampas submesingan jenis HK MP5 dalam milikan anggota berkenaan namun gagal.
Dalam pada itu Saifuddin berkata, pasukan polis diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga untuk mengelakkan sebarang insiden lanjut.
"Ini komitmen pasukan polis kerana ketenteraman dan keselamatan awam itu tiada kompromi," katanya.
Terdahulu, GPPF baharu yang dilancarkan menggariskan tiga teras utama iaitu keselamatan dan ketenteraman awam, keagamaan serta moral dan sosio budaya.
Ia bertujuan membantu penggiat seni dan pembikinan filem tempatan untuk menghasilkan karya filem yang berkualiti tanpa membataskan kemahiran, kretiviti dan daya fikir.
Melalui GPPF ini, golongan tersebut dapat menghasilkan karya filem yang berkualiti dan mempunyai nilai estetika namun pada masa sama, tidak memberi impak negatif terhadap perkara yang menyentuh mengenai tiga teras yang telah digariskan.
- Sinar Harian
#serangan balai polis #cuba ceroboh Istana Negara #Saifuddin Nasution #motif kejadian
;