Insiden rusuhan kuil boleh dielak jika akur keputusan mahkamah
Astro Awani
November 28, 2018 19:23 MYT
November 28, 2018 19:23 MYT
Sekiranya semua pihak akur keputusan mahkamah berhubung isu pemindahan Kuil Sri Mariamman, USJ 25, Subang Jaya dekat sini, ada kemungkinan insiden pergaduhan di kuil itu Isnin lepas dapat dielakkan.
Exco Kerajaan Negeri Selangor V. Ganabatirau berkata sebelum ini pihak berkaitan termasuk pemaju dan pihak kuil sudahpun bersetuju dengan keputusan yang ditetapkan mahkamah.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin Selangor itu berkata isu ini tidak sepatutnya berlaku jika ia dibuat mengkut undang-undang, lapor Bernama.
"Pada 2017, kenyataan pertama saya kita kena akur keputusan mahkamah. Begitu juga sebelum perayaan Deepavali baru-baru ini yang mana kerajaan negeri juga berpendirian, akur dengan keputusan mahkamah.
“Tetapi, bagaimanapun hari ini isunya bertukar. Kini ia menjadi satu isu yang melangkaui daripada yang sepatutnya.
"Kalau perkara ini dibuat mengikut undang-undang mungkin tidak wujud perkara (pergaduhan) ini," katanya kepada pemberita di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ganabatirau berkata kerajaan negeri bertindak menyelesaikan isu itu sebaik mungkin dan secara berhemah menerusi mahkamah apabila terdapat beberapa pihak yang tidak berpuas hati dengan isu berhubung pemindahan kuil berkenaan.
"Sebelum ini tapak tanah itu milik persendirian dan ia tidak digazetkan pun sebagai tapak kuil sebelum ia dijual kepada pemilik kini (pemaju).
"Saya dimaklumkan wujud pihak yang mempertikai pemilikan tanah itu, namun apa pun kita akan cari jalan penyelesaian berhubung isu pemindahannya," tambahnya.
Insiden pada pukul 2 pagi Isnin itu tercetus apabila puluhan individu berkumpul di kawasan tapak kuil dan berlaku pergaduhan yang menyebabkan 21 kereta pelbagai jenis serta dua motosikal terbakar, dan polis menahan beberapa individu bagi membantu siasatan.
Sebelum ini media melaporkan, empat pihak terlibat dalam penghakiman berkaitan tanah itu yang terdiri daripada kerajaan negeri, pemilik tapak kuil berkenaan One City Development Sdn Bhd (One City) serta dua individu yang mendakwa pentadbir kuil itu.
Kerajaan negeri turut menyerahkan sebidang tanah seluas kira-kira 0.4 hektar sekitar tiga kilometer dari lokasi asal kuil, manakala One City dilaporkan menyumbang RM1.5 juta kepada pihak kuil sebagai sebahagian daripada perjanjian penyelesaian berkenaan.